FGV Dairy Farm tamatkan operasi ladang tenusu, aset di Linggi dilelong Agrobank selepas gagal bayar RM18.7 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV Dairy Farm tamatkan operasi ladang tenusu, aset di Linggi dilelong Agrobank selepas gagal bayar RM18.7 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – FGV Dairy Farm Sdn Bhd, pengeluar produk susu di bawah jenama Bright Cow, telah menamatkan operasi ladang tenusu di Linggi, Negeri Sembilan apabila aset syarikat itu dilelong oleh Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) susulan kegagalan menjelaskan pinjaman.

 

FGV Dairy Farm adalah anak syarikat 60% milik FGV Holdings Bhd manakala baki 40% dimiliki oleh RedAgri Farm Sdn Bhd.

 

Menurut sumber industri, aset serta bangunan ladang itu sedang dilelong oleh Agrobank selepas syarikat berkenaan gagal menyelesaikan pinjaman yang diperoleh daripada institusi kewangan tersebut.

 

Semakan rekod menunjukkan FGV Dairy Farm mempunyai caj bank berjumlah sekitar RM18.7 juta dengan Agrobank yang masih belum diselesaikan.

 

Difahamkan, FGV sebelum ini telah melabur kira-kira RM30 juta dalam usaha ternakan tenusu tersebut, namun berdepan pelbagai cabaran operasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Antara cabaran utama termasuk pengurusan ladang yang kurang pengalaman, selain kematian kira-kira satu pertiga daripada sekitar 300 ekor lembu yang dibawa masuk akibat penyakit.

 

Syarikat itu turut berdepan isu logistik seperti pengurusan rantaian sejuk serta tekanan kos runcit yang tinggi di peringkat pasar raya, lapor The Edge.

 

Selepas lebih lima tahun beroperasi, FGV telah menghentikan operasi ladang tenusu di Linggi, manakala pihak syarikat tidak memberikan sebarang maklum balas kepada media berhubung penutupan tersebut.

 

t

 

Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan FGV Dairy Farm telah mengalami kerugian berterusan sejak FGV Holdings Bhd mengambil alih 60% kepentingan dalam RedAgri Farm pada 2020.

 

Kerugian bersih syarikat meningkat daripada RM2.33 juta pada tahun kewangan 2020 kepada RM3.77 juta pada 2021, sebelum melonjak kepada RM9.62 juta pada 2022 akibat pelarasan kerugian nilai aset.

 

Walaupun kerugian sedikit berkurangan kepada RM1.98 juta pada 2023, prestasi kewangan syarikat masih kekal negatif dengan hasil yang tidak stabil sepanjang tempoh tersebut.

 

Bagi tahun kewangan 2024, FGV Dairy Farm merekodkan kerugian bersih sekitar RM2 juta dengan hasil hanya RM1.38 juta, selain menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM32 juta.

 

Pada 2022, syarikat itu turut membuat pelupusan sepenuhnya terhadap kandang lembu, infrastruktur ladang serta peralatan penternakan bernilai sekitar RM7 juta selepas menghentikan pembelian ternakan baharu.

 

Laporan tahunan FGV pada 2023 menyatakan syarikat telah memperluaskan program kontrak penternakan dengan mendapatkan bekalan susu segar daripada penternak luar bagi menampung kekurangan pengeluaran dalaman.

 

Namun, pemerhati industri berpendapat operasi tenusu memerlukan skala besar bagi mencapai keuntungan, sedangkan ladang Linggi hanya menempatkan sekitar 300 ekor lembu yang dianggap tidak mencukupi secara komersial.

 

Sebagai perbandingan, Farm Fresh Bhd  mengendalikan ladang tenusu berskala besar di Taiping, Perak dengan kapasiti sekitar 4,000 ekor lembu serta kemudahan pemprosesan susu bersepadu di lokasi yang sama.

 

Penutupan operasi ini adalah satu lagi  kegagalan FGV dalam sektor tenusu kerana sebelum ini membatalkan rancangan pembangunan ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis yang bernilai sehingga RM4.5 bilion.- DagangNews.com