KUALA LUMPUR 21 Okt – Farmiera Berhad, pengeluar dan pengedar ayam tempatan menyasarkan untuk mengumpul RM29.25 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 November ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 42.9% akan digunakan bagi pembinaan dua ladang induk manakala 32.8% diperuntukkan bagi membina sebuah pusat penetasan anak ayam.
Selain itu, 9.6% akan digunakan sebagai modal kerja bagi membiayai operasi harian manakala baki selebihnya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Farmiera, Hong How Seng berkata, pelancaran prospektus IPO tersebut adalah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan dan transformasi syarikat sejak ditubuhkan pada 2013.
“Sejak awal lagi, Farmiera memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan ayam pedaging dan kami telah membina rekod prestasi kukuh dalam menyediakan bekalan ayam hidup yang konsisten dan boleh dipercayai bagi menyokong aktiviti perdagangan serta pemprosesan ayam kami.
“Kejayaan ini didorong oleh hubungan pelanggan yang kukuh dan komitmen terhadap keselamatan makanan serta piawaian kualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
IPO Farmiera melibatkan penerbitan 117 juta saham baharu, mewakili 26% modal saham terbitan diperbesarkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 22.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 9 juta saham kepada pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang menyumbang kepada Kumpulan.
Selain itu, 29.25 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 56.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tambahnya, syarikat sedang memfokuskan aktiviti pembiakan dan penetasan ayam, berasaskan keyakinan ia akan kekal sebagai sumber protein utama dan mampu milik di Malaysia dengan permintaan yang dijangka terus meningkat.
“Ini akan membolehkan kami memperoleh bekalan anak ayam sendiri, mengawal kos dan kualiti dengan lebih baik, serta meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan keseluruhan rantaian bekalan Farmiera.
“Kami yakin langkah strategik ini akan meletakkan Farmiera di landasan pertumbuhan mampan serta memberikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Chia Wei berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyokong Farmiera dalam proses IPO dan penyenaraiannya di Pasaran ACE.
“Farmiera telah membina kedudukan kukuh dalam industri ayam pedaging, disokong oleh standard penternakan yang tinggi dan fokus terhadap kecemerlangan operasi.
“Langkah syarikat untuk menceburi segmen pembiakan ayam pedaging dan pusat penetasan menunjukkan strategi berwawasan ke arah pengembangan mampan.
“Kami yakin pasukan pengurusan Farmiera mempunyai keupayaan untuk merebut peluang pasaran dan memacu kejayaan masa hadapan,” katanya.
Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut.
Permohonan awam bagi saham IPO Farmiera dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 30 Oktober 2025. - DagangNews.com








