Farm Price rancang pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Price rancang pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Farm Price Holdings Berhad, syarikat pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar serta produk makanan dan minuman (F&B) dari Johor, mengumumkan cadangan untuk memindahkan senarai saham dan waran mereka dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Langkah ini dibuat selepas syarikat mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan keuntungan bersih sebanyak RM23.8 juta bagi tiga tahun kewangan terakhir dan RM10.3 juta bagi tahun kewangan 2024.

 

Farm Price juga mencatatkan nisbah semasa 4.27 kali, tunai RM29.6 juta, serta hutang rendah dengan gearing 0.18 kali.

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Lawrence Tiong Lee Chian berkata pemindahan ini bukan sekadar perubahan pasaran, tetapi menandakan tahap matang operasi syarikat serta keyakinan untuk fasa pertumbuhan seterusnya. 

 

“Pusat pengedaran berpusat di Senai dijangka mula beroperasi suku pertama 2026, meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi syarikat.

 

“Apabila beroperasi kelak, ia dijangka dapat meningkatkan perkhidmatan bernilai tambah Farm Price, memperluas kapasiti pengendalian, dan menyokong kecekapan operasi yang lebih tinggi,” katanya.

 

Farm Price disenaraikan di Pasaran ACE pada 14 Mei 2024 dan berjaya mengumpul RM24.5 juta daripada pelabur.

 

Pemindahan ke Pasaran Utama dijangka memperluas pengiktirafan syarikat di kalangan pelabur dan memperkukuh kepercayaan pelanggan serta rakan niaga. - DagangNews.com