KUALA LUMPUR 22 Sept - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan Meta Platforms Inc (Meta) membanteras kandungan perjudian dan penipuan dalam talian di platform kendaliannya.
Fahmi berkata, sekiranya Meta tidak meningkatkan usaha pengawalseliaan kandungan, kerajaan akan mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap penyedia platform media sosial itu.
Beliau menjelaskan, walaupun Meta telah mengambil tindakan terhadap sebahagian permintaan Kementerian Komunikasi untuk menurunkan kandungan, masih terdapat kandungan haram yang kekal di Facebook.
Menurut Fahmi, sebanyak 168,774 permintaan penurunan kandungan Facebook telah dihantar kepada Meta setakat 19 Sept, mewakili 59% daripada keseluruhan permintaan penurunan kandungan merentasi semua platform media sosial.
Daripada jumlah itu, 120,127 permintaan berkaitan perjudian dalam talian telah dikemukakan, namun hanya 114,665 kandungan berjaya diturunkan.
“Bagi aktiviti penipuan, daripada 37,722 permintaan penurunan kandungan, hanya 36,918 berjaya diturunkan.
“Selebihnya masih kekal di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” kata Fahmi dalam kenyataan hari ini.
Meta mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Dalam masa sama, Fahmi turut memetik statistik dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang menunjukkan bahawa kes penipuan e-dagang di Facebook, Instagram dan WhatsApp dari 2023 hingga Ogos 2025 melibatkan jumlah kerugian melebihi RM248 juta.
Jumlah ini, kata Fahmi, membuktikan Meta masih gagal memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti jenayah siber.
“Walau bagaimanapun, Meta memberi jaminan bahawa ia akan meningkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan haram dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Kementerian Komunikasi bersama agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama Meta tidak ditingkatkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Fahmi berkata semua pengendali media sosial telah diminta memperkenalkan kaedah pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan bagi menyekat kanak-kanak bawah umur daripada mengakses platform mereka.
“Sistem sedia ada masih didapati gagal menghalang pengguna bawah umur serta melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai,” jelasnya.
Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital, sambil menambah bahawa semua platform media sosial mesti mengambil tanggungjawab lebih besar untuk memastikan kandungan haram dikeluarkan dengan segera. - DagangNews.com








