Fahmi arah MCMC panggil Astro beri penjelasan isu penyampai radio Era persenda agama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fahmi arah MCMC panggil Astro beri penjelasan isu penyampai radio Era persenda agama

KUALA LUMPUR 4 Mac (Bernama) - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan tiga penyampai ERA FM milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi.

 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini termasuklah memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC, bagi memberikan penjelasan penuh.

 

“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

fahmi fadzil
                                Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

 

 

Terdahulu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.

 

Hari ini tular di media sosial tindakan penyampai stesen radio ERA FM milik Astro yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

 

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

 

Sementara itu, Astro Audio bertindak menggantung tugas penyampai ERA FM, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin sehingga siasatan dalam selesai berikutan isu video tular dakwaan menghina agama.

 

Ketiga-tiga penyampai radio tersebut telah mengakui kesilapan mereka dan kini direhatkan daripada siaran sementara siasatan dijalankan. - BERNAMA