Exchange 106, Yayasan Pahang buka peluang latihan dan pekerjaan untuk graduan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exchange 106, Yayasan Pahang buka peluang latihan dan pekerjaan untuk graduan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – Exchange 106 memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pahang bagi membuka peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan tempatan dari negeri itu. 

 

Inisiatif tersebut bertujuan melengkapkan graduan dengan kemahiran praktikal sebelum mereka menyertai pasaran kerja. 

 

Exchange 106, dimiliki dan diurus oleh Mulia Property Development Sdn Bhd, terletak di Tun Razak Exchange (TRX), pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia. 

 

Projek ini dianggap sebagai salah satu mercu tanda komersial utama negara.

 

Melalui kerjasama ini, graduan akan menjalani program latihan terstruktur yang disediakan oleh YP Advanced Skills Sdn Bhd (YPAS), anak syarikat Yayasan Pahang, sebelum ditempatkan di Exchange 106 untuk pengalaman kerja yang sebenar. 

 

t

 

Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan berkata peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap.

 

“Program latihan yang disediakan YPAS merangkumi kemahiran teknikal, persediaan menghadapi tempat kerja, dan pembelajaran praktikal yang bersesuaian dengan keperluan industri. 

 

“Graduan akan didedahkan dengan tugasan sebenar untuk membina kompetensi profesional.

 

“Bagi Exchange 106, inisiatif ini membantu memastikan tenaga kerja mereka mempunyai kemahiran yang relevan dan bersedia menghadapi cabaran operasi bangunan komersial berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Fokus utama adalah dalam pengurusan fasiliti, operasi bangunan dan perkhidmatan teknikal.

 

Peserta program akan ditempatkan di Exchange 106 di bawah bimbingan mentor berpengalaman. Prestasi mereka dinilai sepanjang program dan graduan berpotensi ditawarkan pekerjaan tetap berdasarkan pencapaian.

 

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada graduan Pahang yang memiliki kelayakan dan kemahiran berkaitan. 

 

“Dengan cara ini, projek ini bukan sahaja menyokong pembangunan bakat tempatan, tetapi juga membuka jalan kepada kerjaya jangka panjang bagi graduan.

 

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat untuk melatih bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. Pengalaman praktikal sangat penting untuk memastikan graduan lebih bersedia memasuki pasaran kerja,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang dan Pengarah Urusan YPAS, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata program ini memberi peluang kepada graduan menyertai pembangunan industri di mercu tanda berprestij. 

 

“Yayasan Pahang komited menghasilkan profesional bersedia bekerja dari hari pertama. Langkah ini menandakan usaha bersama Exchange 106 dan Yayasan Pahang dalam memperkukuh tenaga kerja Malaysia, sambil membuka peluang kepada generasi muda membina kerjaya bermakna dalam sektor korporat dan pembangunan hartanah negara,” katanya. - DagangNews.com