KUALA LUMPUR 31 Okt – EWI Capital Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Eco World International Bhd, sedang mengubah haluan perniagaannya kepada syarikat pegangan pelaburan menerusi komitmen A$100 juta (RM276.5 juta) ke dalam sebuah dana pejabat utama di Australia.
Syarikat itu akan menjadi pelabur utama dalam TrustCapital Australian Office Fund No 3, yang diuruskan oleh TrustCapital Advisors Investment Management Pte Ltd berpusat di Singapura.
Menurut EWI Capital, pengurus dana tersebut mempunyai rekod kukuh dalam pemerolehan, pengurusan dan pelupusan aset pejabat di Australia.
Pembiayaan pelaburan ini akan menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman.
Dana tersebut menyasarkan komitmen modal sehingga A$500 juta, dengan matlamat mengurus aset bernilai sehingga A$1 bilion dan sasaran kadar pulangan dalaman (IRR) melebihi 10% setahun.
Ia merancang untuk melabur dalam tiga hingga empat aset pejabat utama di bandar-bandar utama Australia, dengan tempoh lapan tahun serta pilihan lanjutan dua tahun lagi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng berkata, pelaburan berkenaan sejajar dengan strategi EWI Capital untuk mencari peluang pelaburan dan pembangunan yang mampu menjana pendapatan lebih cepat.
“Aset pejabat utama di Australia kini mencatat pulangan sewaan sekitar 6% hingga 8% setahun, malah ada yang ditawarkan di bawah kos penggantiannya.
“Syarikat menyasarkan pulangan tunai tahunan melebihi paras tersebut dan yakin mencapai pulangan keseluruhan melebihi sasaran IRR 10%,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap prospek permintaan pejabat di Australia dalam jangka sederhana, berikutan jangkaan bangunan baharu yang terhad akibat kos pembinaan yang meningkat.
Dua dana terdahulu yang diuruskan TrustCapital Advisors — Australian Office Fund No 1 dan No 2 — masing-masing mengurus aset bernilai A$740 juta dan A$450 juta dan semasa pelupusan pada 2017 berjaya mencatat IRR antara 11% hingga 24%.
Dalam segmen pembangunan hartanah, EWI Capital sedang mempertimbangkan semula nilai pasaran portfolio sedia ada untuk menentukan projek yang wajar dijual bagi meraih dana pelaburan semula, serta projek yang akan diteruskan pembangunan.
Penilaian ini turut merangkumi potensi peruntukan susut nilai bagi mencerminkan nilai sebenar aset.
Teow berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan dana dalam projek yang masih belum dibangunkan bagi memanfaatkan peluang dalam sektor hartanah yang kini menawarkan pulangan pelarasan risiko lebih menarik.
Menurutnya, matlamat syarikat adalah menjana tunai, mengukuhkan kedudukan kewangan dan kembali mencatat keuntungan secepat mungkin.
Dalam pada itu, EWI Capital turut memaklumkan bahawa Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Kong Sooi Lin, akan berkecuali daripada perbincangan dan pengundian berkaitan pelaburan tersebut kerana beliau juga menganggotai lembaga TC Advisors Australia Investment Management dan TCA Real Estate Sdn Bhd. - DagangNews.com








