KUALA LUMPUR 27 Okt – Epicon Bhd menjelaskan belum menerima sebarang writ saman atau penyataan tuntutan daripada Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) berhubung laporan media yang menyatakan Tan Chong telah memfailkan saman untuk mendapatkan semula hutang bernilai RM26 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Epicon merujuk kepada artikel bertajuk “Tan Chong sues Epicon and its former subsidiaries to recover RM26 mil debt” yang diterbitkan oleh The Edge Malaysia pada 24 Oktober 2025, serta Surat Tuntutan (Letter of Demand) yang diterima daripada TCIE.
“Syarikat ingin menjelaskan setakat ini, Epicon belum menerima sebarang writ saman atau penyataan tuntutan daripada pihak TCIE,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Epicon menambah pihaknya akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara tersebut, seperti yang dikehendaki di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.
Pada 24 Oktober, The Edge melaporkan Tan Chong telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Epicon dan bekas anak syarikatnya bagi menuntut semula hutang berjumlah RM26 juta yang dikatakan tertunggak.
Tan Chong dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata anak syarikat milik penuhnya, TCIE, telah memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman tersebut menamakan Epicon — yang sebelum ini dikenali sebagai Konsortium Transnasional Bhd — serta lima bekas syarikat pengangkutan yang berkaitan, iaitu Transnasional Express Sdn Bhd, Plusliner Sdn Bhd, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Bhd, Syarikat Rembau Tampin Sdn Bhd, dan Kenderaan Langkasuka Sdn Bhd sebagai defendan.
Menurut Tan Chong, hutang tersebut berpunca daripada perjanjian penyelesaian pada tahun 2016 yang dimeterai antara TCIE dengan para defendan dan MHSB Properties Sdn Bhd, melibatkan jumlah RM32.9 juta bagi caj sewaan dan penyelenggaraan kenderaan yang belum dibayar.
Di bawah perjanjian itu, sebidang tanah di Bandar Ampang, Selangor, bernilai RM16 juta, akan dipindah milik kepada TCIE sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, manakala baki RM16.92 juta perlu dijelaskan dalam lapan bayaran ansuran bulanan.
Bagaimanapun, para defendan hanya membuat bayaran ansuran pertama, menyebabkan TCIE menamatkan perjanjian itu pada tahun 2017 dan mengambil semula kenderaan yang disewa.
Selepas itu, para defendan bersama MHSB memfailkan saman pada tahun yang sama bagi menghalang tindakan pengambilan semula kenderaan tersebut serta mendakwa bahawa nilai tanah tersebut sebenarnya berjumlah RM55.6 juta, sekali gus mendatangkan bayaran berlebihan (overpayment) kepada TCIE.
Pertikaian itu akhirnya diselesaikan memihak kepada TCIE, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan berpihak kepada syarikat tersebut pada Februari tahun ini.
Berikutan kegagalan berterusan untuk membuat bayaran, TCIE kemudiannya menjual kenderaan yang telah diambil semula dengan nilai RM2.1 juta pada bulan Julai.
Di bawah tindakan saman terbaharu itu, TCIE menuntut untuk mendapatkan semula RM26.15 juta dalam bentuk bayaran tertunggak, selain faedah kelewatan sebanyak 0.75% sebulan bermula dari April tahun ini, kos guaman, serta apa-apa bentuk relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Tan Chong dalam pemaklumannya berkata, peguam TCIE berpendapat syarikat mempunyai asas kukuh untuk menuntut semula hutang tersebut, dan tindakan undang-undang berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan. - DagangNews.com







