ENRA dapat kontrak utama PETRONAS Carigali di Terminal Minyak Mentah Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ENRA dapat kontrak utama PETRONAS Carigali di Terminal Minyak Mentah Terengganu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Sept - ENRA Group Berhad (ENRA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hexagon Energy Logistics Sdn Bhd (HELSB), telah dianugerahkan kontrak utama oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB).

 

Kontrak tersebut merangkumi penyediaan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, penanggalan, pemasangan dan kerja-kerja pentauliahan bagi sistem Catenary Anchor Leg Mooring (CALM) di Terengganu Crude Oil Terminal (TCOT) yang merupakan sebahagian daripada Aset Semenanjung Malaysia PCSB.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, ENRA tidak menyatakan nilai kontrak tersebut.

 

Surat Tawaran diterima pada 7 Ogos 2025 dan ENRA kemudiannya memperoleh kebenaran bertulis daripada PCSB pada 6 September 2025 untuk mengumumkan perkembangan ini kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Menurut ENRA, projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh 90 minggu atau lebih awal, dan walaupun nilai kontrak tidak didedahkan, kumpulan itu menjangkakan ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham sebaik sahaja kerja-kerja bermula.

 

“Penganugerahan kontrak ini membuktikan keupayaan ENRA dalam menyediakan penyelesaian khusus untuk sektor minyak dan gas. Ia sejajar dengan strategi kami memperkukuh kehadiran dalam perkhidmatan berkaitan huluan,” kata syarikat itu dalam pengumuman berkenaan.

 

ENRA menegaskan, kontrak tersebut tidak melibatkan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa, dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham mahupun pihak berkuasa berkaitan.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan ENRA mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

Perkembangan ini memperkukuh usaha berterusan ENRA mengembangkan portfolio logistik tenaga dan perkhidmatan kejuruteraan, sekali gus menandakan hala tuju pertumbuhan yang lebih kukuh dalam rantaian nilai minyak dan gas negara. - DagangNews.com