KUALA LUMPUR 11 Sept – Enproserve Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Enproserve (M) Sdn Bhd (EMSB) menerima Surat Penganugerahan (LOA) daripada Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV) untuk melaksanakan projek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pemasangan (EPCC) bagi Loji Penulenan Biometana di Kampar, Perak.
Surat penganugerahan diterima pada 3 September 2025 dan disahkan pada 4 September 2025. Projek ini dijangka siap dalam tempoh 13 bulan dari tarikh berkuatkuasa.
"Skop kerja projek meliputi pengurusan projek, pembinaan termasuk pemasangan dan pra-pengkomisian, serta pengkomisian dan ujian loji biomethana tersebut," kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
GMGV, yang merupakan anak syarikat Gas Malaysia Berhad, menumpukan kepada pengeluaran dan perdagangan Compressed Biomethane serta gas hijau lain, termasuk aktiviti pembelian, penjualan, pembekalan dan penyediaan sijil alam sekitar lestari.
Projek ini tidak dijangka menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama Enproserve. Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sehingga projek selesai.
Risiko projek
Enproserve mengakui risiko yang mungkin menjejaskan projek termasuk ketersediaan tenaga mahir dan bahan, perubahan harga bahan, serta keadaan politik, ekonomi, pasaran kewangan dan peraturan. Syarikat akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan risiko-risiko ini.
Menurut Lembaga Pengarah Enproserve, projek ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa syarikat dan adalah untuk kepentingan terbaik syarikat. Tiada penglibatan langsung atau tidak langsung daripada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkepentingan yang berkait dengan mereka dalam projek ini.
Projek Loji Penulenan Biometana ini menandakan langkah strategik Enproserve dalam sektor tenaga hijau, selari dengan usaha Malaysia meningkatkan penggunaan teknologi mesra alam dan pengeluaran gas hijau bagi menyokong agenda tenaga lestari. - DagangNews.com








