KUALA LUMPUR 1 April – Elsa Berhad, penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Perjanjian ini menandakan fasa pelaksanaan rasmi bagi rancangan penyenaraian syarikat itu.
IPO Elsa melibatkan penerbitan 118.4 juta saham baharu mewakili kira-kira 21.99 peratus daripada jumlah modal saham selepas penyenaraian, serta tawaran jualan sebanyak 36.4 juta saham sedia ada, bersamaan 6.76 peratus daripada jumlah modal saham yang diperbesar.
Dengan selesainya IPO itu nanti, jumlah saham Elsa akan meningkat kepada 538.4 juta saham, menjadikan syarikat lebih kukuh dari segi modal untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
Daripada 118.4 juta saham baharu yang diterbitkan, 26.92 juta akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 10.768 juta saham diperuntukkan untuk individu yang layak.
Sebanyak 80.712 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Di bawah perjanjian itu, Malacca Securities bersetuju untuk menanggung 37.688 juta saham baru yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan individu layak, memastikan penawaran saham ini berjalan lancar.
Pengerusi Eksekutif Elsa Berhad, Amiruddin Mohd Zain berkata perjanjian taja jamin itu adalah langkah penting dalam perjalanan korporat mereka untuk bergerak ke fasa pelaksanaan penyenaraian di Pasaran ACE dengan penuh keyakinan.
Elsa Berhad menyediakan perkhidmatan bersepadu dalam empat segmen utama: perkhidmatan lapangan minyak, digital, robotik dan kejuruteraan, serta tenaga kerja.
Syarikat mengamalkan model perniagaan ringan dari segi aset tetapi berskala, menggunakan teknologi dan kepakaran rakan kongsi untuk menawarkan perkhidmatan bernilai tinggi kepada pengendali minyak dan gas.
Elsa kini mempunyai portfolio pelanggan yang kukuh dalam ekosistem PETRONAS serta pengendali minyak dan gas antarabangsa dan tempatan.
Penyenaraian itu diharapkan dapat menyediakan modal strategik bagi memperkukuh tenaga kerja teknikal, mengembangkan kemampuan robotik dan pemeriksaan aset, serta membiayai projek-projek yang sedang berkembang.
Dana hasil IPO juga akan digunakan untuk memperluas segmen digital dan robotik syarikat, selain membolehkan Elsa mengekalkan pertumbuhan berterusan dalam sektor tenaga yang semakin kompetitif.
Malacca Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin, dan Ejen Penempatan untuk IPO Elsa. - DagangNews.com








