KUALA LUMPUR 22 Sept - Momentum perdagangan luar Malaysia melemah pada Ogos apabila pertumbuhan eksport perlahan manakala import jatuh, mencerminkan ketidaktentuan berterusan perdagangan global susulan tindakan tarif Amerika Syarikat (AS), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Eksport pada Ogos meningkat hanya +1.9% tahun ke tahun (YoY), jauh lebih rendah berbanding +6.5% pada Julai, manakala import susut -5.9% YoY selepas mencatat kenaikan kecil +0.6% pada Julai. Ia menandakan satu daripada prestasi bulanan terlemah tahun ini, dipengaruhi permintaan luar yang perlahan dan perubahan dasar luar negara.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2025, eksport meningkat +3.9% YoY (2024: +5.8%) manakala import berkembang +3.6% YoY (2024: +13.1%), menghasilkan lebihan dagangan RM86.1 bilion berbanding RM139 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Maybank IB menurunkan unjuran pertumbuhan tahun penuh kepada +4.1% (sebelum ini +4.3%) bagi eksport dan +5.0% (sebelum ini +6.4%) bagi import, tetapi mengekalkan jangkaan lebihan dagangan pada RM133 bilion (2024: RM139.1 bilion).
Import terjejas oleh SST dan faktor bekalan
Kemerosotan import dipacu oleh kelemahan dalam kedua-dua barangan penggunaan dan barangan perantaraan. Import barangan penggunaan jatuh -8.9% YoY pada Ogos, selepas susut -4.9% pada Julai, sejajar dengan pelaksanaan Semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Julai 2025 yang antara lain menaikkan kadar cukai jualan ke atas barangan penggunaan import.
Sementara itu, import barangan perantaraan merosot untuk bulan keenam berturut-turut, susut -16.8% YoY pada Ogos selepas -17.8% pada Julai, menandakan risiko berterusan terhadap prospek sektor pembuatan.
Sebaliknya, import barangan modal kekal kukuh dengan pertumbuhan +11.0% YoY pada Ogos, walaupun lebih perlahan berbanding semakan +20.3% pada Julai, menunjukkan kitaran pelaburan Malaysia masih utuh.
Tarif AS ganggu aliran dagangan
Sorotan utama pada Ogos ialah kejatuhan pertama eksport ke Amerika Syarikat sejak Disember 2023, selepas Washington memuktamadkan tarif timbal balik 19% pada akhir Julai, yang mula berkuat kuasa pada 7 Ogos 2025.
Maybank IB memberi amaran, turun naik angka perdagangan dijangka berterusan apabila AS beralih daripada tarif timbal balik kepada tarif khusus produk, dengan semikonduktor dan farmaseutikal menjadi tumpuan.
Kedua-dua sektor ini penting kepada prestasi eksport Malaysia, khususnya semikonduktor yang kini disiasat oleh Jabatan Perdagangan AS di bawah Seksyen 232 Akta Perdagangan AS.
Siasatan yang dilancarkan pada April 2025 itu menilai implikasi keselamatan negara terhadap import semikonduktor, dengan dapatan dijangka diserahkan kepada Presiden Donald Trump dalam beberapa bulan akan datang.
Tumpuan pada lawatan Trump ke ASEAN
Trump dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26-28 Oktober 2025, sekali gus menimbulkan harapan bahawa kejelasan berhubung tarif semikonduktor dapat diumumkan sepanjang acara itu.
“Angka dagangan yang tidak menentu akan terus berlaku selagi AS belum memberi panduan jelas mengenai pendiriannya terhadap tarif,” kata Maybank IB.
“Walaupun pelaburan modal kekal memberangsangkan, kelemahan import barangan perantaraan memberi isyarat risiko kepada prospek pembuatan Malaysia,” kata firma tersebut. - DagangNews.com








