Eksport Malaysia melonjak kepada RM153 bilion pada Disember 2025 dipacu Johor, Pulau Pinang - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia melonjak kepada RM153 bilion pada Disember 2025 dipacu Johor, Pulau Pinang - DOSM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Prestasi eksport Malaysia pada Disember 2025 mencatat pertumbuhan kukuh dipacu terutamanya oleh Johor dan Pulau Pinang yang menyumbang peningkatan nilai eksport terbesar, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah eksport negara mencecah RM153 bilion pada Disember 2025, meningkat 10.4% atau RM14.3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, Johor mencatatkan pertambahan eksport sebanyak RM9.4 bilion, diikuti Pulau Pinang (RM8.6 bilion), Perak (RM546.5 juta) dan Selangor (RM90.8 juta), sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport negara pada bulan berkenaan.

 

Bagaimanapun, katanya, beberapa negeri mencatatkan penyusutan nilai eksport termasuk Sarawak (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM921.8 juta), Terengganu (-RM757.2 juta), Melaka (-RM378 juta), Pahang (-RM185.9 juta), Kedah (-RM104.9 juta), Kelantan (-RM103 juta), Labuan (-RM89.9 juta), Kuala Lumpur (-RM68.6 juta), Negeri Sembilan (-RM41.6 juta) dan Perlis (-RM11.8 juta).

 

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan 40.1 peratus, diikuti Johor (22.5%), Selangor (14.7%), Sarawak (6.0%) dan Kuala Lumpur (3.3 peratus),” katanya dalam kenyataan DOSM hari ini.

 

Mengulas prestasi import, Mohd Uzir berkata, nilai import Malaysia pada Disember 2025 meningkat 12 peratus atau RM14.3 bilion kepada RM133.7 bilion berbanding Disember 2024.

 

Menurutnya, kenaikan import didorong oleh pertambahan di kebanyakan negeri, khususnya Pulau Pinang (RM5.8 bilion), Johor (RM3.6 bilion), Kedah (RM2.3 bilion), Selangor (RM2.3 bilion), Kuala Lumpur (RM1.3 bilion), Perak (RM753.5 juta), Negeri Sembilan (RM265.6 juta), Pahang (RM207 juta), Terengganu (RM58.1 juta) dan Sabah (RM50.6 juta).

 

Namun begitu, nilai import menurun di Melaka sebanyak RM1.3 bilion, Sarawak (RM359.5 juta), Labuan (-RM282 juta), Perlis (-RM35.7 juta) dan Kelantan (-RM21.8 juta).

 

“Dari segi sumbangan import, Selangor terus mendominasi dengan 27%, diikuti Pulau Pinang (24.8%), Johor (21.1%), Kuala Lumpur (7.7%) dan Kedah (7.0%),” katanya. - DagangNews.com