Ekovest tamatkan rundingan ambil alih Credence Resources bernilai RM1.15 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekovest tamatkan rundingan ambil alih Credence Resources bernilai RM1.15 bilion

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 Jan – Ekovest Bhd mengesahkan cadangan pengambilalihan Credence Resources Bhd (CRSB) bernilai RM1.15 bilion daripada pemegang saham utama, Tan Sri Lim Kang Hoo, telah luput susulan tamatnya tempoh lanjutan terakhir tanpa sebarang pemuktamadan perjanjian.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Ekovest berkata, perjanjian prinsip (HOA) yang ditandatangani bagi meneroka dan merundingkan pengambilalihan tersebut tamat pada 26 Jan 2026 selepas melalui sembilan kali lanjutan tarikh akhir sejak cadangan itu diumumkan.

 

Bagaimanapun, tiada sebab didedahkan berhubung kegagalan memuktamadkan transaksi dalam tempoh yang ditetapkan. 

 

 

 

 

 

 

Sebelum ini, Ekovest menjelaskan lanjutan demi lanjutan diberikan bagi membolehkan kedua-dua pihak menilai dan mempertimbangkan terma perjanjian dengan lebih menyeluruh.

 

Cadangan yang diumumkan pada 2023 itu melibatkan pengambilalihan 70% kepentingan dalam CRSB daripada Lim pada nilai kira-kira RM1.15 bilion, yang akan diselesaikan melalui terbitan saham baharu Ekovest pada harga 60 sen sesaham.

 

Ketika itu, Ekovest menyatakan pengambilalihan berkenaan dijangka memperluas perniagaan pembangunan hartanah kumpulan melalui akses kepada bank tanah CRSB, termasuk pegangan menerusi Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan Iskandar Waterfront City Bhd yang meliputi 4,212 ekar di Johor.

 

 

 

 

Dari sudut prestasi kewangan, Ekovest mencatatkan margin EBITDA bagi tempoh 12 bulan terkini yang kukuh pada 47.5%, namun pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang lebih sederhana pada 4.7%. - DagangNews.com