KUALA LUMPUR 3 Nov – Pahang mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan perindustrian utama di Pantai Timur dengan sokongan infrastruktur strategik yang merangkumi Pelabuhan Kuantan, kawasan perindustrian Gebeng serta Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).
Gabungan ekosistem ini terus menarik minat pelabur global, dipacu kedudukan negeri yang strategik serta kemudahan logistik bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 30 Jun 2025, MCKIP sahaja telah meluluskan 18 projek berjumlah RM25.3 bilion, sekali gus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Taman perindustrian ini mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, logistik, industri berat dan teknologi.
“Pahang juga terus mencatat prestasi kukuh dalam sektor pelaburan dengan nilai komited mencecah RM17.43 bilion sehingga September 2025, melepasi sasaran tahunan RM14.09 bilion.
“Pelaburan ini telah menghasilkan lebih 11,000 peluang pekerjaan dan menunjukkan keyakinan pelabur terhadap daya saing serta kestabilan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sesi ramah mesra bersama warga industri Kuantan di di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan, semalam.
Tambahnya, pelaburan baharu bernilai RM1.6 bilion juga telah dimeterai oleh empat syarikat melibatkan sektor kecerdasan buatan, rim aloi, teknologi hijau serta produk fosfat makanan dan elektronik, memperkukuh aspirasi Pahang menuju ekonomi bernilai tambah tinggi dan berasaskan teknologi.
“Bagi menyokong pertumbuhan industri dan memenuhi keperluan pelabur, kita turut melaksanakan projek infrastruktur kritikal termasuk pembangunan Loji Rawatan Air Masin di Gebeng bagi menjamin kelangsungan bekalan air industri.
“Kemajuan pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bandar Pelabuhan Kuantan pula dijangka meningkatkan kecekapan logistik dan memperluas rangkaian perdagangan antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Dengan gabungan kekuatan pelabuhan laut dalam, zon industri moden serta rangkaian pengangkutan bersepadu, Pahang kekal berada di landasan kukuh sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau dan destinasi pilihan pelaburan jangka panjang di Malaysia,” katanya.
Selaras perkembangan pesat itu, kerajaan negeri turut menggariskan harapan agar tenaga kerja industri di Pahang terus memanfaatkan peluang pembangunan baharu yang diwujudkan, khususnya dalam bidang kemahiran teknikal, automasi, teknologi hijau dan ekonomi digital.
Beliau berharap pekerja industri digalakkan meningkatkan kecekapan, mengikuti latihan berterusan dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta permintaan pasaran global.
“Usaha ini penting bagi memastikan rakyat tempatan menjadi peneraju utama pembangunan ekonomi negeri, bukan sekadar pemerhati kepada kemajuan industri yang berlaku.
“Jika disokong dengan sumber manusia berkualiti dan berdaya saing, Pahang diyakini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mengekalkan momentumnya sebagai hab pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com








