KUALA LUMPUR 6 Mei — Di sebalik prospek pertumbuhan kukuh dipacu pusat data (DC), kebergantungan tinggi kepada segelintir pelanggan utama kekal menjadi risiko kritikal bagi EI Power Berhad.
Menurut analisis RHB Research, lima pelanggan teratas syarikat menyumbang 84% daripada hasil bagi FY25, yang boleh menjejaskan kestabilan pendapatan jika berlaku perubahan kontrak atau permintaan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal yakin terhadap pertumbuhan kumpulan disokong kepakaran dalam rumusan tenaga misi kritikal (MCPS), khususnya dalam segmen DC yang terus berkembang pesat.
“Rekod pelaksanaan projek yang selama ini kukuh serta kepakaran teknikal menjadi kelebihan daya saing utama EI Power, dan mewujudkan kelebihan dengan bilangan pesaing pula terhad,” jelasnya.
Setakat ini ujar RHB Research, kumpulan itu menyiapkan 146 projek bernilai keseluruhan RM188 juta, dengan menguasai 67% DC beroperasi di Kulai, Johor, serta memenuhi pensijilan Uptime Institute.
Bagi menyokong pertumbuhan, ia merancang mengumpul dana RM62.2 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO), yang digunakan untuk modal kerja serta kemasukan ke pasaran DC di Thailand selepas ini.
Langkah tersebut katanya, sebagai usaha EI Power untuk mempelbagaikan sumber pendapatan jangka panjang, dengan menyasarkan Thailand menerusi bidaan pelbagai projek MCPS bernilai RM75 juta.
"Tindakan perluasan perkhidmatan ke negara jiran itu dilihat strategik memandangkan sektor DC di Thailand sudah menarik pelaburan sekitar RM93.7 bilion sepanjang 2025," tambah RHB Research.

Firma itu menjangkakan pendapatan secara mampan dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 19.2%, disokong oleh buku tempahan yang kukuh melebihi RM200 juta.
Selain itu, nisbah tender EI Power kepada buku tersebut sebanyak tiga kali menunjukkan potensi aliran kontrak baharu yang sihat, manakala margin kasar dijangka stabil 35% dalam tempoh unjuran.
Kumpulan itu jelas RHB Research, bercadang memperkenalkan segmen kecekapan tenaga bangunan (BEE) bagi menjana hasil berulang serta memperkukuh profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Dari segi penilaian pula, kami menetapkan nilai saksama (FV) sebanyak 79 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 18 kali ganda bagi unjuran kewangan FY27," katanya.
Situasi itu mencerminkan premium berbanding purata industri susulan margin keuntungan dan pulangan ekuiti EI Power yang lebih tinggi, menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 21 Mei 2026.
Bagaimanapun, RHB research mengingatkan beberapa risiko utama termasuk kebergantungan pelanggan, ketidakpastian pengisian semula buku tempahan, serta risiko pelaksanaan dalam pasaran baharu.
Di samping itu, segmen BEE masih belum mempunyai kontrak dimeterai, namun secara keseluruhan, syarikat ini berada pada landasan kukuh memanfaatkan pertumbuhan pesat industri DC. - DagangNews.com








