Edra capai operasi komersial stesen, loji janakuasa Telok Gong dan Kuala Langat di bawah lanjutan 4 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Edra capai operasi komersial stesen, loji janakuasa Telok Gong dan Kuala Langat di bawah lanjutan 4 tahun

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Feb - Edra Power Holdings Sdn Bhd berjaya mengoperasikan Stesen Janakuasa Telok Gong 2 (TGPS2) dan Loji Janakuasa Kuala Langat (KLPP) susulan penganugerahan lanjutan operasi selama empat tahun di bawah Kategori 1 permintaan cadangan (RFQ) yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

 

TGPS2 mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada jam 12 tengah malam, 14 Februari 2026 manakala KLPP memulakan operasi komersial pada tengah malam 23 Februari 2026.

 

Di bawah tempoh baharu itu, TGPS2 dan KLPP akan terus beroperasi masing-masing sehingga 14 Februari 2030 dan 31 Disember 2029.

 

TGPS2 merupakan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 700 megawatt (MW) yang memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan grid serta keselamatan tenaga jangka panjang di Semenanjung Malaysia.

 

Mula ditauliahkan pada 2002 dan sebelum ini diberikan lanjutan setahun pada Julai 2024, loji berkenaan terus menggunakan turbin gas kelas F berteknologi maju yang dikonfigurasikan dalam susun atur kitaran gabungan 2-atas-1.


 

Telok Gong
Stesen Janakuasa Telok Gong 2 (TGPS2) - Gambar Edra Power Holdings

 


KLPP pula ialah loji CCGT berkapasiti 675MW yang menggunakan teknologi turbin gas GE Alstom 13E2. Selepas beroperasi selama 21 tahun di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) asal, loji itu menamatkan lanjutan pertama selama 10 tahun pada 22 Februari 2026, dengan lanjutan terbaharu ini mengukuhkan lagi peranannya dalam menyokong kebolehpercayaan sistem tenaga Malaysia.

 

Sebagai persediaan untuk pengoperasian semula, TGPS2 menjalani pemeriksaan menyeluruh dan penilaian teknikal termasuk penilaian turbin gas dan stim, ujian penjana dan transformer, penentukuran geganti perlindungan serta pentauliahan semula sistem imbangan loji bagi memenuhi keperluan tempoh lanjutan baharu.

 

KLPP pula mengekalkan keadaan loji dan kesiapsiagaan operasi yang kukuh, sekali gus membolehkan peralihan lancar antara tempoh PPA terdahulu dan baharu tanpa gangguan bekalan.


 

Loji Janakuasa Kuala Langat (KLPP)
Loji Janakuasa Kuala Langat (KLPP) - Gambar Edra Power Holdings

 


Ketua Pegawai Keselamatan Edra, Oscar Huang berkata, kejayaan pengoperasian tepat pada masanya bagi kedua-dua loji itu mencerminkan dedikasi, kepakaran teknikal serta kerjasama kukuh pasukan dan rakan strategik syarikat.

 

Menurutnya, lanjutan empat tahun bagi TGPS2 dan KLPP ini menyerlahkan peranan strategik aset Edra dalam mengekalkan bekalan elektrik yang stabil untuk negara.

 

Katanya, ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan operasi Edra dan kemampuan Malaysia mengendalikan kemudahan CCGT secara cekap dan boleh dipercayai dalam jangka panjang ketika syarikat terus menyampaikan rumusan tenaga yang diyakini bagi menyokong peralihan tenaga negara.

 

“Ketika Malaysia memacu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), penjanaan berasaskan gas yang boleh dipercayai dan cekap akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan grid sambil membolehkan integrasi tenaga boleh baharu yang lebih besar.

 

"Melalui operasi berterusan TGPS2 dan KLPP, Edra kekal komited menyokong peralihan negara ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com