Econpile raih dua kontrak bernilai RM57.95 juta bagi pembangunan di Oasis Ara, Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile raih dua kontrak bernilai RM57.95 juta bagi pembangunan di Oasis Ara, Selangor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – Econpile Holdings Bhd berjaya meraih dua kontrak bernilai RM57.95 juta untuk kerja-kerja pembinaan serta pembekalan bahan projek pembangunan Oasis Ara di Ara Damansara, Selangor.

 

Anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd telah menerima Surat Anugerah pada 2 Julai lalu daripada dua entiti di bawah kumpulan LFE, iaitu LFE Engineering Sdn Bhd dan LFE Innovative Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak pertama sebanyak RM27.99 juta telah dianugerahkan oleh LFE Engineering bagi perkhidmatan pembinaan melibatkan kerja-kerja ubah suai dan asas binaan.

 

Kontrak kedua pula bernilai RM29.96 juta diberi oleh LFE Innovative untuk pembekalan dan penghantaran bahan bagi projek yang sama.

 

Kedua-dua kontrak tersebut dijadualkan berlangsung selama 21 bulan bermula 30 Jun 2025.

 

Econpile menjangkakan projek tersebut akan memberi sumbangan positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya. - DagangNews.com