KUALA LUMPUR 5 Jun — Econpile Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM42.8 juta daripada Irama Duta Sdn Bhd bagi projek Rapid Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.
Kumpulan tersebut berkata, tender itu diterima pada 30 Mei 2025 menerusi surat penganugerahan bertarikh 20 Mei 2025 yang melibatkan kerja-kerja pembinaan cerucuk dan berkaitan dari kawasan jajaran Jelutong Timur ke Gelugor dalam Pakej CMC1.
"Pelaksanaan kontrak baharu itu untuk sistem pengangkutan awam rel moden di pulau berkenaan akan bermula pada 1 Ogos 2025 dan perlu disiapkan menjelang 31 Oktober 2027," kata Econpile dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Projek tersebut kata kumpulan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu, dijangka mampu menyumbang secara positif kepada hasil dan perolehan syarikat pembinaan berkenaan dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya.
Tambahnya lagi, tiada sebarang risiko secara ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko ketika operasi yang berkaitan dengan projek LRT itu sepanjang tempoh 27 bulan pelaksanaan kontrak tersebut.
Kumpulan itu menambah, pihak pengurusannya bagaimanapun akan melaksanakan segala langkah kawalan dan prosedur operasi untuk berusaha mengurangkan sebarang kesan atau kemungkinan kejadian tersebut.
Selain itu katanya, tiada pengarah atau pemegang saham utama Econpile atau orang yang berkaitan dengan mereka memiliki sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak dalam projek ini. - DagangNews.com








