EcoFirst catat untung RM10.48 juta bagi 1QFY2026, semak semula pelan pembangunan akibat SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoFirst catat untung RM10.48 juta bagi 1QFY2026, semak semula pelan pembangunan akibat SST

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt – Pemaju hartanah EcoFirst Consolidated Bhd akan menyesuaikan semula pelan pembangunan projeknya bagi mengurangkan kesan kenaikan kos susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan.

 

Syarikat itu berkata, kadar SST sebanyak 6% yang berkuat kuasa mulai Julai lalu dijangka memberi tekanan terhadap harga rumah, margin keuntungan serta boleh menjejaskan momentum pasaran hartanah.

 

“Cukai baharu ini akan meningkatkan beban kewangan pemaju yang sudah pun menanggung cukai tidak langsung ke atas bahan binaan, perkhidmatan dan buruh. 

 

“Ini menyebabkan syarikat membuat semakan semula garis masa projek serta harga bagi pembangunan semasa dan masa depan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Langkah strategik itu diumumkan selepas EcoFirst melaporkan peningkatan mendadak dalam prestasi kewangannya bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2025 (1QFY2026).

 

Keuntungan bersih syarikat itu melonjak kepada RM10.48 juta berbanding RM946,000 pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya turut meningkat 87.3% kepada RM123.45 juta daripada RM65.92 juta sebelumnya, disumbangkan oleh kemajuan pengebilan projek KL 48 serta perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang lebih rendah.

 

Namun, tiada dividen diisytiharkan bagi suku berkenaan. - DagangNews.com