KUALA LUMPUR 7 Julai – Eco-Shop Marketing Bhd, peruncit produk isi rumah mampu milik dijangka mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY26), menurut UOB Kay Hian Research (UOBKH Research).
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan tersebut disokong oleh Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) keuntungan tiga tahun sebanyak 17.7% dari FY24 hingga FY27 dan kedudukannya yang defensif dalam menghadapi pelbagai tekanan kos dan cabaran luaran.
"Hasil keuntungan syarikat runcit tersebut juga kekal positif walaupun berdepan peningkatan kos daripada pelbagai faktor termasuk gaji minimum yang lebih tinggi, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing, tarif elektrik serta perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewa komersial.
"Setiap kenaikan kos itu tidak memberi kesan besar secara berasingan, namun jumlah keseluruhannya dijangka mencecah hampir RM40 juta setahun, bersamaan kira-kira 7.6% daripada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Eco-Shop untuk FY26," kata UOBKH Research dalam satu nota kajiannya.
Bagi mengimbangi tekanan kos tersebut, Eco-Shop telah menaikkan harga tetap barangan daripada RM2.40 kepada RM2.60 bermula April lalu.
Ia adalah strategi sama yang pernah dilakukan pada 2022, apabila pelarasan harga turut menyebabkan penurunan trafik pelanggan dalam jangka pendek sebelum pulih dalam tempoh dua bulan.
Firma itu menjangka jualan di cawangan-cawangan Eco-Shop sedia ada (bukan cawangan baru) akan kembali mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam FY26 iaitu meningkat lebih daripada 10% disokong oleh pelan penjenamaan semula dan pengubahsuaian kedai.
Bagi suku keempat FY25, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi Eco-Shop adalah lebih mendatar dengan keuntungan turun sedikit kepada RM62.3 juta, kesan segera daripada pelarasan harga dan faktor bermusim sepanjang Ramadan lalu.
Namun begitu, prestasi tahun penuh dijangka menepati unjuran sedia ada.
Selain itu, strategi pengembangan agresif Eco-Shop juga terus menyokong momentum pertumbuhan.
Syarikat telah melepasi sasaran pembukaan dengan lebih 80 cawangan baharu dibuka sepanjang FY25.
"Dengan ketersediaan premis dan kedudukan yang masih berkembang dari asas yang rendah, Eco-Shop berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran pembukaan 70 kedai baharu setiap tahun bagi tempoh sederhana.
"Kami turut dimaklumkan bahawa lokasi untuk FY26 telah pun dikenal pasti," kata UOBKH.
Tambahnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, prospek pendapatan Eco-Shop kekal kukuh.
"Unjuran CAGR tiga tahun sebanyak 17.7% dari FY24 hingga FY27 juga hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding pesaingnya, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd," kata firma tersebut.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada dan mengekalkan saranan “beli” ke atas saham Eco-Shop dengan harga sasaran RM1.45 sesaham.
UOBKH turut menilai Eco-Shop pada paras 34.5 kali pendapatan FY26, yang meletakkannya di antara 99 Speed Mart dan MR DIY dari segi pertumbuhan.- DagangNews.com








