KUALA LUMPUR 27 Okt – Konsortium e-Mutiara Berhad terus memperkukuhkan perkhidmatannya dengan menambah tujuh unit bas dua tingkat baharu berasaskan casis premium MAN RR5 26.440 dengan spesifikasi Euro V, bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan perjalanan penumpang.
Bas MAN dua tingkat berukuran 12.8 meter dengan 38 tempat duduk itu adalah sebahagian daripada 13 unit yang dipasang oleh Truckquip Sdn Bhd yang berpangkalan di Seri Kembangan, Selangor.
Kesemua bas berkenaan akan digunakan untuk laluan Kuala Lumpur–Singapura dan Ipoh–Singapura yang kini mencatatkan permintaan tinggi.
Bas ini dilengkapi enjin MAN D26 berkapasiti 12.4 liter dengan kuasa 440hp, dipadankan dengan transmisi automatik MAN TipMatic yang memastikan pertukaran gear lancar sama ada ketika pemanduan di lebuh raya mahupun dalam kesesakan trafik.
Dari segi keselamatan, bas MAN dua tingkat itu turut dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) seperti Electronic Braking Assistance (EBA), Lane Departure Warning (LDW) dan Cruise Control bagi menjamin keselamatan optimum sepanjang perjalanan.
Majlis penyerahan rasmi diadakan baru-baru ini dengan Pengarah Urusan MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd, Marc Appelt menyerahkan bas tersebut kepada Pengasas E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusannya, Naemah Ya’acob.

Dengan jumlah tempahan keseluruhan sebanyak 67 unit yang merangkumi bas dua tingkat dan satu tingkat, E-Mutiara kini muncul sebagai antara pengendali terbesar armada Bas MAN di Malaysia.
Sementara itu, Naemah berkata, E-Mutiara sentiasa komited meneroka peluang baharu dan membina kerjasama strategik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kami percaya MAN merupakan rakan kongsi yang tepat untuk berkembang bersama kami melalui penyelesaian menyeluruh yang meliputi kontrak pembaikan dan penyelenggaraan komprehensif serta sistem telematik terkini.
“Kami amat berpuas hati dengan prestasi kumpulan awal Bas MAN 13.5 meter dengan 42 tempat duduk yang diterima pada Julai lalu dan kini beroperasi di laluan Kota Bharu–Kuala Lumpur.
“Pemandu bas kami sangat menghargai keupayaan enjin Euro V MAN yang berkuasa, sistem brek retarder dan peranti had laju yang dipasang di kilang bagi memastikan kawalan selamat semasa menuruni cerun.
“Penumpang turut memuji enjin yang senyap dan bebas getaran, menjadikan perjalanan lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Marc Appelt berkata misi utama syarikat ialah membantu memudahkan urusan pengusaha bas dan trak melalui penyelesaian pengangkutan berteknologi tinggi yang terbukti berkesan di pasaran tempatan.
“Dengan kepercayaan pengusaha seperti E-Mutiara, MAN berjaya menguasai bahagian pasaran terbesar bagi jenama trak dan bas Eropah di Malaysia bagi separuh pertama 2025,” katanya.
Kerjasama strategik itu turut dipuji oleh Ketua Jualan Bas Antarabangsa MAN Truck & Bus, Hadi Zamani yang menyifatkan kejayaan ini sebagai satu langkah besar bagi perniagaan casis bas MAN di Asia.
“Peningkatan permintaan terhadap penyelesaian pengangkutan yang inovatif dan mampan menunjukkan pengusaha di rantau ini semakin berpandangan jauh,” katanya. - DagangNews.com








