KUALA LUMPUR 13 April – DXN Holdings Berhad mengumumkan langkah strategik mengukuh rantaian bekalan globalnya melalui pembinaan kemudahan pembuatan mega baharu di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, DXN Industries (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian pajakan selama 60 tahun dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi lima lot tanah industri.
Pajakan tersebut jelas pengeluar produk nutraseutikal itu melibatkan keluasan 10.8 hektar di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam Fasa 3, dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM27.83 juta.
"Pembangunan kemudahan pembuatan baharu ini bagi menangani kekangan kapasiti di kilang sedia ada di Jitra yang kini hampir mencapai tahap maksimum," maklum DXN kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tempoh pajakan itu bermula dari tarikh perjanjian, dengan pilihan untuk pelanjutan selama 39 tahun lagi, manakala pelaburan ini akan dibiayai melalui dana penjanaan dalaman atau pinjaman bank.
Fasiliti itu akan berfungsi sebagai lanjutan bersepadu kepada operasi di Jitra, dan membolehkannya memanfaatkan tenaga kerja, infrastruktur, serta rangkaian logistik sedia ada di koridor utara.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, pembinaan kilang itu merupakan langkah penting memperkukuh rantaian bagi menyokong permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.
"Kemudahan baharu ini turut akan memastikan konsistensi bekalan dan penyelarasan yang lebih baik merentas operasi bersepadu kami di seluruh dunia," kata beliau dalam satu kenyataan berasingan.
Langkah ini juga selaras dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara DXN dan Invest Kedah Berhad pada 15 Julai 2025 untuk memupuk pembangunan secara mampan di negeri tersebut.
Selain pengembangan di Kedah, kumpulan itu juga sedang dalam proses menyiapkan beberapa projek pembuatan lain termasuk di Bolivia, Peru, Maghribi, dan Kelantan yang dijadualkan siap pada 2027.
Setakat 28 Februari 2025, DXN memiliki aset bersih kukuh bernilai RM1.26 bilion, dan pelaburan terbaharu ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan. - DagangNews.com








