DXN Bhd rancang bina kilang industri di Ibia, Brazil bernilai RM77 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DXN Bhd rancang bina kilang industri di Ibia, Brazil bernilai RM77 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Dis – DXN Holdings Berhad mengumumkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Ibia, di Minas Gerais, Brazil, bagi meneroka pembangunan sebuah kilang industri di kawasan tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, MoU yang ditandatangani pada 1 Disember 2025, itu bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Ibiá, di samping menyokong rancangan pengembangan DXN di Brazil dan pasaran Amerika Latin secara lebih luas.

 

Di bawah MoU itu, pihak perbandaran Ibia akan menyediakan sebidang tanah untuk pembinaan kilang industri, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian muktamad dan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

"DXN pula bercadang untuk melabur kira-kira BRL100 juta (anggaran RM77 juta) dalam tempoh lima tahun, selain menyokong inisiatif komuniti tempatan termasuk kebudayaan, sukan, kebajikan sosial dan program kesihatan," katanya dalam kenyataan tersebut.

 

DXN menegaskan, komitmen syarikat untuk memastikan bahawa projek ini akan menekankan kelestarian alam sekitar dan memerlukan DXN mengekalkan operasi kilang industri sekurang-kurangnya lima tahun bagi memperoleh hak milik penuh tanah yang disediakan.

 

Perbandaran Ibia pula bersetuju untuk menyediakan sokongan pentadbiran dan undang-undang, termasuk proses penilaian tanah, pengkategorian dalam zon pembangunan bandar, dan penggubalan undang-undang perbandaran bagi membolehkan sumbangan tanah dilaksanakan.

 

DXN menjelaskan MOU ini bersifat tidak mengikat, dan tidak menimbulkan risiko kewangan atau operasi baharu kepada syarikat.

 

"Sebarang kesan kewangan hanya akan timbul setelah pelaksanaan perjanjian muktamad yang diluluskan oleh pihak berkuasa," katanya.

 

Program pembangunan kilang industri ini dijangka menjana peluang pekerjaan dan menyumbang manfaat sosioekonomi kepada penduduk tempatan, sambil mengekalkan hubungan strategik antara DXN dan perbandaran Ibiá sepanjang pelaksanaan projek. - DagangNews.com