Duopharma Biotech lantik Wan Amir-Jeffery sebagai CEO Kumpulan mulai 1 Oktober | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma Biotech lantik Wan Amir-Jeffery sebagai CEO Kumpulan mulai 1 Oktober

Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Duopharma Biotech Berhad mengumumkan pelantikan Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO) berkuat kuasa 1 Oktober 2025.

 

Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif – Operasi Kumpulan dan telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan strategik sejak menyertai syarikat pada 2016. 

 

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Ketua Pegawai Strategi, Ketua Pegawai Operasi serta Ketua Pegawai Komersial.

 

Pengerusi Duopharma Biotech, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf, berkata keyakinan diberikan kepada Wan Amir-Jeffery adalah hasil sumbangan besar beliau secara strategik dan operasi sejak menyertai syarikat.

 

“Saya yakin Duopharma Biotech akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

 

Berusia 52 tahun, Wan Amir-Jeffery memiliki Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Perdagangan Antarabangsa) dari University of Central Arkansas, Amerika Syarikat, selain alumni Harvard Business School Senior Management Development Program.

 

Kini, beliau juga menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) bagi penggal 2025–2027. - DagangNews.com