DUN Selangor bahas insiden letupan paip gas di Putra Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DUN Selangor bahas insiden letupan paip gas di Putra Heights

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan membahaskan insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu pada petang ini.

 

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, perbahasan tersebut akan berlangsung selepas Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) Selangor 2025 dibentangkan.

 

"Ia akan didahului dengan taklimat khas oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari atau wakil beliau kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) pada sesi petang.

 

"Seperti yang saya maklumkan, perbahasan itu akan diadakan selepas Menteri Besar atau wakilnya memberi taklimat kepada semua wakil rakyat,” katanya dalam persidangan DUN Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. 

 

Isu tersebut mendapat perhatian mendesak selepas Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan rayuan bagi 20 individu yang menjadi mangsa dalam insiden tersebut.

 

Namun, rayuan itu ditolak oleh Speaker kerana terdapat pertindihan berikutan permohonan sama telah dikemukakan lebih awal oleh Menteri Besar.

 

"Saya ingin menegaskan bahawa sebab utama rayuan itu ditolak ialah kerana sudah ada permohonan daripada Menteri Besar untuk membincangkan isu ini di yang akan memberi peluang kepada lebih ramai Ahli Dewan mengambil bahagian," katanya.

 

Persidangan DUN Selangor yang sedang berlangsung dan dijadual berakhir pada 11 Julai ini.

 

 - DagangNews.com