DRB-HICOM kena tambah RM2.42 juta bagi pembelian Spirit AeroSystems susulan semakan harga selepas jualan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DRB-HICOM kena tambah RM2.42 juta bagi pembelian Spirit AeroSystems susulan semakan harga selepas jualan 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 April - DRB-HICOM Bhd perlu membayar tambahan sebanyak AS$600,563 (RM2.42 juta) bagi pembelian Spirit AeroSystems susulan semakan harga selepas jualan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata unit aeroangkasa milik penuhnya, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), telah bersetuju dengan pelarasan harga selepas jualan bersama penjual.

 

Katanya, ini sekali gus menaikkan jumlah akhir harga pembelian yang telah dimuktamadkan empat bulan lalu kepada AS$111.22 juta (RM452.21 juta) daripada AS$110.62 juta yang dibayar ketika penyiapan belian pada 8 Disember 2025.

 

DRB-HICOM menjelaskan semakan terkini berpunca daripada mekanisme pelarasan selepas penutupan yang berkait dengan baki sebenar modal kerja bersih, tunai dan hutang pada tarikh penyiapan. 

 

Angka-angka ini kadangkala dimuktamadkan selepas penutupan, menggantikan anggaran awal yang digunakan untuk menentukan harga pembelian sementara.

 

Peningkatan kecil ini mungkin menunjukkan kedudukan modal kerja bersih Spirit AeroSystems sedikit lebih kukuh daripada yang dianggarkan sebelum ini, menurut kumpulan itu.

 

Pengambilalihan unit Malaysia Spirit AeroSystems adalah sebahagian daripada strategi lebih luas DRB-HICOM untuk mengukuhkan segmen aeroangkasa melalui CTRM, yang terlibat dalam pembuatan struktur aero komposit dan perkhidmatan kejuruteraan. 

 

Ia pertama kali diumumkan pada Ogos 2025, dengan DRB-HICOM menilai Spirit AeroSystems Malaysia pada RM426.1 juta.

 

Spirit Malaysia merupakan pembekal utama komponen dan pemasangan untuk program utama Airbus dan Boeing, termasuk A220, A320, A321, A350, B737 dan B787. 

 

Kemudahannya di Subang dalam Malaysia International Aerospace Centre juga berfungsi sebagai hab Asia Tenggara bagi Spirit AeroSystems.

 

Sementara itu, CTRM menghasilkan struktur aero komposit seperti komponen sayap untuk A320, A350 dan A380, nacelle untuk A350, serta pelbagai komponen bagi pesawat A400M, B737, B787, B767 dan B777. 

 

Pada 5 Disember 2026, DRB-HICOM telah menaikkan anggaran harga belian bagi pengambilalihan Spirit AeroSystems kepada AS$110.62 juta, meningkat 16.2% berbanding nilai perusahaan yang diumumkan sebelum ini berjumlah AS$95.2 juta- DagangNews.com