DNeX rugi RM479.4 juta pada FY2025 disebabkan pelarasan aset bukan tunai berjumlah RM429.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX rugi RM479.4 juta pada FY2025 disebabkan pelarasan aset bukan tunai berjumlah RM429.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM479.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).

 

Namun sebahagian besar kerugian itu adalah kos bukan tunai satu kali berjumlah RM429.5 juta berikutan pelarasan semula aset dalam segmen semikonduktor dan tenaga yang tidak melibatkan wang tunai keluar dari syarikat.

 

Jika dikecualikan kos bukan tunai itu, prestasi operasi DNeX menunjukkan peningkatan dengan LBT sebenar menyusut 36% kepada RM49.9 juta berbanding RM78.4 juta pada FY2024. 

 

“Penurunan ini hasil daripada langkah penjimatan kos dan penyusunan semula portfolio syarikat.

 

“Jumlah pendapatan bagi FY2025 ialah RM1 bilion, turun daripada RM1.2 bilion pada FY2024. Penurunan ini disebabkan harga minyak mentah lebih rendah, jumlah pengeluaran tenaga berkurang, dan penjualan perniagaan kabel bawah laut yang rugi dalam segmen IT,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Segmen Semiconduktor menyaksikan kenaikan harga jualan wafer silikon sebanyak 33% kepada AS$D701 setiap unit berbanding AS$527 pada FY2024. 

 

Produk teknologi baru kini menyumbang 43% daripada jumlah pendapatan, naik daripada 23% pada tahun sebelumnya. Segmen ini merekodkan LBT RM286.4 juta termasuk kos bukan tunai RM200.2 juta, atau LBT sebenar RM86.2 juta.

 

Segmen Tenaga pula mencatat LBT RM236.4 juta, termasuk kos bukan tunai RM229.3 juta. LBT sebenar hanya RM7.1 juta berbanding PBT RM25.7 juta pada FY2024. Segmen ini turut mendapat sokongan daripada pengurangan kos kewangan selepas penyelesaian penuh bon yang dijadualkan pada Julai 2024.

 

Segmen IT muncul sebagai penyumbang positif, dengan PBT RM58.8 juta berbanding LBT RM7.2 juta pada FY2024. Pendapatan IT bagi FY2025 ialah RM162.5 juta berbanding RM225.2 juta pada FY2024, disebabkan penjualan kabel bawah laut dan siapnya projek utama.

 

Bagi suku keempat FY2025, DNeX merekodkan pendapatan RM214.9 juta dan LBT RM509.2 juta, disebabkan pengiktirafan penuh kos bukan tunai RM429.5 juta. LBT sebenar suku tersebut ialah RM79.7 juta, menunjukkan kesan gangguan kuasa dan penangguhan pengeluaran minyak sementara.

 

Pengarah Kewangan DNeX, Vinie Chong berkata kos bukan tunai tidak mencerminkan kemerosotan operasi aset sebenar. 

 

“Syarikat terus fokus pada pertumbuhan segmen semiconduktor melalui pengembangan kapasiti dan kerjasama strategik, manakala segmen tenaga menumpukan kepada pengeluaran minyak Adi medan Abu Cluster dan pengoptimuman aset UK,” katanya.

 

DNeX kini mempunyai tunai RM624.2 juta, jumlah aset RM3.5 bilion, dan ekuiti RM1.7 bilion. 

 

Dengan asas kewangan kukuh ini, syarikat bersedia melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang termasuk menjadi penyedia solusi berasaskan awan dan AI, serta memperkukuh peranan dalam pendigitalan kerajaan Malaysia. - DagangNews.com