KUALA LUMPUR 4 Julai - Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai entiti tunggal infrastruktur dan rangkaian 5G Malaysia perlu menyelaras semula peranannya bersama U Mobile Sdn Bhd untuk mengelak ketidaktentuan dalam sektor telekomunikasi negara, kata Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research).
Firma penyelidikan itu juga berpendapat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera campur tangan bagi menyelaras peranan kedua-dua entiti tersebut.
"SKMM perlu menyelaraskan perbezaan struktur antara DNB (entiti borong khusus) dan U Mobile sebagai pengendali mudah alih runcit.
"Tanpa campur tangan ini, ia akan mewujudkan ketidakseimbangan serius di masa depan, khususnya dari aspek pelarasan semula dan pemilikan spektrum," katanya.
Firma itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekaburan dasar sejak pelantikan U Mobile dan menyatakan keyakinan pelabur tidak akan pulih sepenuhnya selagi tiada penjelasan konkrit daripada pengawal selia.
"Walaupun penyenaraian awam awal (IPO) U Mobile dijangka membuka lebih banyak maklumat berkenaan model perniagaan dan pelan pelaksanaan rangkaiannya, ketidaktentuan industri hanya boleh diselesaikan dengan panduan jelas daripada SKMM," katanya.
Menjelang separuh kedua 2025, HLIB menjangka pengendali rangkaian mudah alih itu akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos dalam persekitaran pasaran yang tepu dan sangat kompetitif dengan pertumbuhan hasil yang kekal sederhana.
Dalam masa sama, prestasi sektor itu kekal dipacu oleh dasar 5G termasuk penstrukturan semula DNB, pegangan 41.7% oleh Kementerian Kewangan (dengan opsyen jualan menjelang November 2025) serta sebarang semakan terhadap kadar fi akses borong 5G.
"Pasaran sudah mengambil kira jangkaan kenaikan fi borong 5G tahun ini, namun jika kadar fi diturunkan, ia boleh menjadi pemangkin positif buat CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd," katanya.
Dalam pasaran jalur lebar tetap pula, HLIB berkata, persaingan sengit terus menekan purata hasil setiap pengguna (ARPU) serta jumlah langganan bersih, khususnya bagi Telekom Malaysia Bhd (TM) sebagai penyedia utama, namun ia tidak dianggap terlalu membebankan.
"Sebagai pemilik infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), TM masih meraih hasil borong yang lebih stabil dengan kos penyampaian yang lebih rendah berbanding perniagaan runcit yang dapat menyerap kesan kepada margin keuntungan," katanya.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor telekomunikasi dan memilih TM sebagai saham pilihan utama.
“Kami percaya profil risiko-pulangan (risk-reward) masih memihak kepada operator jalur lebar tetap memandangkan peranan penting mereka dalam infrastruktur jalur lebar dan 5G, serta pembangunan pusat data (DC) yang sedang giat berjalan," katanya.
Firma itu turut menarik perhatian kepada peningkatan ketara pegangan asing dalam TM sepanjang 2024 daripada 11%-12% kepada kemuncak sekitar 16%-17% susulan ia dilihat sebagai penerima manfaat utama pelaburan pusat data di Malaysia.
"Minat asing terhadap TM dijangka kembali meningkat apabila pusat data baharu mula beroperasi secara berperingkat, termasuk pusat data TM sendiri menerusi usaha sama dengan Nxera milik Singtel, yang dijangka siap menjelang pertengahan 2026," katanya. - DagangNews.com








