DKSH Holdings bawa cadangan penswastaan RM249.1 juta kepada pemegang saham minoriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH Holdings bawa cadangan penswastaan RM249.1 juta kepada pemegang saham minoriti

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 Jan – DKSH Holdings (Malaysia) Bhd memutuskan untuk membentangkan cadangan pengurangan dan pembayaran modal terpilih (SCR) kepada pemegang saham minoriti, selepas pengarah tidak berkepentingan selesai mempertimbangkan pelan penswastaan bernilai RM249.1 juta yang dikemukakan pemegang saham utamanya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah berkata, pengarah tidak berkepentingan telah memutuskan untuk membawa cadangan SCR itu untuk pertimbangan pemegang saham, berdasarkan nasihat penasihat bebas Asia Equity Research Sdn Bhd.

 

Keputusan tersebut dibuat susulan pengumuman DKSH Holdings pada 23 Januari syarikat memperoleh lanjutan masa sehingga 30 Januari bagi memberikan maklum balas kepada pemegang saham pengawalnya, DKSH Resources (Malaysia) Sdn Bhd, sama ada cadangan itu akan dibentangkan atau sebaliknya.

 

Di bawah tawaran yang diumumkan pada 9 Disember tahun lalu, DKSH Resources yang memegang 74.31% kepentingan dalam DKSH Holdings bercadang untuk menswastakan kumpulan itu pada harga RM6.15 sesaham secara tunai, melibatkan 40.5 juta saham atau 25.7% daripada modal saham terbitan.

 

Tawaran tersebut mewakili premium 16.7% berbanding harga saham sebelum pengumuman, namun berada di bawah nilai buku kumpulan sebanyak RM6.74 sesaham.

 

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan daripada Pangolin Investment Management, pemegang 2.71% kepentingan dalam DKSH Holdings dan lebih 10% daripada pegangan minoriti, yang menyifatkan tawaran berkenaan sebagai tidak bermerit dan terlalu rendah.

 

Pendekatan itu berpotensi merumitkan kelulusan SCR, yang memerlukan sekurang-kurangnya 75% sokongan pemegang saham tidak berkepentingan dengan tidak lebih 10% mengundi menentang.

 

Sebagai sebahagian daripada mekanisme SCR, DKSH Holdings akan melaksanakan terbitan bonus sehingga 125.5 juta saham bagi meningkatkan modal saham ke tahap yang membolehkan pengurangan modal dicadangkan.

 

Bagaimanapun, saham bonus tersebut akan dibatalkan serta-merta selepas diterbitkan dan tidak akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang saham.

 

Menurut syarikat, pihak penawar bercadang membiayai pembayaran balik itu melalui dana dalaman, pinjaman bank serta pinjaman daripada DKSH Resources.

 

CIMB Investment Bank Bhd, selaku penasihat utama bagi cadangan SCR, mengesahkan pelan penswastaan itu tidak akan gagal akibat kekurangan pembiayaan, dan semua pemegang saham yang layak akan menerima pembayaran tunai sepenuhnya.

 

Sekiranya diluluskan, DKSH Holdings akan menjadi anak syarikat milik penuh DKSH Resources dan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, dengan kumpulan itu menjangkakan proses berkenaan dapat diselesaikan pada suku ketiga 2026 (3Q 2026), tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pengesahan mahkamah. - DagangNews.com