KUALA LUMPUR 12 Mei – DKSH Holdings (Malaysia) Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM49.56 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM48.17 juta pada 1QFY25.
Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan hasil daripada pelanggan baharu yang berjaya diperoleh dalam kedua-dua unit perniagaan utama syarikat, iaitu barangan pengguna dan penjagaan kesihatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan melaporkan hasil meningkat sebanyak 6.1% kepada RM2.35 bilion bagi suku itu, berbanding RM2.22 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Barangan pengguna mencatatkan RM1.28 bilion, naik 6.2% daripada pertumbuhan portfolio pelanggan, dan keuntungan meningkat kepada RM46.4 juta walaupun terdapat kos penyusunan semula stok," katanya.
Sementara hasil penjagaan pesihatan ujar DKSH, bertambah 6.0% kepada RM1.04 billion, dan keuntungan segmen meningkat kepada RM27.2 juta, didorong oleh pertumbuhan organik dan campuran pelanggan.
Segmen lain, yang merangkumi rangkaian kedai Famous Amos, mencatatkan hasil RM29.0 juta, namun sedikit kerugian operasi sebanyak RM0.4 juta disebabkan peningkatan pelbagai perbelanjaan operasi.
Walaupun mencatatkan pertumbuhan hasil, keuntungan sebelum cukai kumpulan berjumlah RM66.17 juta diimbangi kos penyusunan semula rantaian bekalan dan kesan pertukaran mata wang asing (forex).
"Mengenai prospek masa depan, DKSH menyatakan pasaran kekal tidak menentu, serta terus fokus kepada pengurusan modal kerja, kecekapan kos, serta mempercepatkan lagi agenda pendigitalan," tambahnya.
Usaha berkenaan jelasnya, untuk mengemudi persekitaran perniagaan yang mencabar, dan bagi suku dikaji tersebut, syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen kepada semua pemegang sahamnya.
Dalam perkembangan lain, syarikat memaklumkan cadangan penyahsenaraian syarikat daripada Bursa Malaysia melalui tawaran pengambilalihan oleh DKSH Holding Ltd gagal mendapat kelulusan.
Kata DKSH, majoriti pemegang saham kumpulan itu menolak usul tersebut dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 2 April 2026. - DagangNews.com








