KUALA LUMPUR 23 Jan - Digital Realty, penyedia global bagi rumusan pusat data, perkhidmatan hos pusat data dan kesalinghubungan neutral awan serta pengendali rangkaian, mengesahkan rancangannya untuk memasuki pasaran Malaysia.
Kemasukan itu akan direalisasikan menerusi perjanjian pemerolehan CSF Advisers, pemilik pusat data TelcoHub 1 yang terletak di Cyberjaya.
Digital Realty dalam kenyataan hari ini berkata, pemerolehan itu akan meluaskan lagi platform Asia Tenggaranya serta mengukuhkan komitmen kumpulan dalam menyokong keperluan infrastruktur digital yang semakin berkembang di rantau ini.
TelcoHub 1 terletak di Cyberjaya, yang diiktiraf sebagai antara hab pusat data paling mapan di Kuala Lumpur.
TelcoHub 1 merupakan pusat data beroperasi dengan kapasiti 1.5 megawatt dan dianggap antara hab kesalinghubungan gentian gelap terbesar di Malaysia, dengan lebih 6,000 teras gentian serantau serta jarak jauh yang berakhir di fasiliti tersebut.
Pusat data itu juga mempunyai kepadatan rangkaian yang tinggi dengan lebih 40 penyedia perkhidmatan rangkaian, termasuk akses kepada platform utama seperti AWS, Google, MY IX dan DE-CIX ASEAN.
Menurut Digital Realty, seiring dengan pemerolehan TelcoHub 1, kumpulan itu turut bersetuju untuk memperoleh tanah bersebelahan yang mampu menyokong sehingga 14 megawatt beban IT, sekali gus menyediakan kapasiti jelas bagi pengembangan pada masa hadapan.
Pemerolehan tersebut dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat penutupan yang lazim.
Berpandukan asas sedia ada, kampus Malaysia itu akan diintegrasikan ke dalam PlatformDIGITAL, iaitu platform pusat data global Digital Realty yang membolehkan pelanggan melaksanakan infrastruktur dalam persekitaran konsisten, selamat dan saling berhubung, sejajar dengan peningkatan skala beban kerja digital dan berasaskan AI.
“Pada masa depan, ia merancang untuk memperkenalkan ServiceFabric, penyelesaian kesalinghubungan dan orkestrasi miliknya, bagi menyediakan pelanggan dengan sambungan global serta fleksibiliti lebih tinggi dalam mengurus infrastruktur digital merentasi rantau ini,” kata Digital Realty dalam kenyataan itu.
Secara keseluruhan, langkah ini akan memperkukuh keupayaan sedia ada CSF dan meningkatkan keupayaan Digital Realty dalam menyokong pelanggan tempatan serta organisasi dengan jejak serantau berpusat di Singapura, dengan menawarkan kapasiti dan kesalinghubungan pelengkap di seluruh Asia Tenggara.
“Malaysia kini memainkan peranan yang semakin penting dalam ekosistem digital serantau apabila hyperscaler, perusahaan dan platform digital terus meningkatkan skala operasi mereka,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Digital Realty, Serene Nah.
“Kemasukan kami ke pasaran Malaysia membawa bersama platform global, kepakaran operasi serta pendekatan pelaburan jangka panjang kami ke pasaran tempatan, sekali gus menyokong aspirasi digital negara dan membantu membentuk hala tuju pembangunan infrastruktur serantau pada masa depan,” katanya.
Selepas pemerolehan dimuktamadkan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CSF Advisers, Billy Lee, bersama pasukan kepimpinan tempatan serta lebih 40 profesional berkemahiran, akan menyertai Digital Realty.
Tambah Digital Realty, gabungan kepakaran itu akan memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai pelanggan CSF, termasuk perusahaan serta penyedia perkhidmatan awan dan digital, di samping perancangan untuk mengembangkan pasukan tempatan secara berperingkat.
“Malaysia kini berada dalam fasa pengembangan berterusan bagi infrastruktur digital, dengan jumlah kapasiti pusat data dijangka meningkat daripada 1.26 gigawatt pada 2025 kepada 2.53 gigawatt menjelang 2030,” kata Lee.
“Syarikat berbesar hati untuk menyertai Digital Realty dan percaya pemerolehan ini akan memperkukuh penyelesaian kesalinghubungan kami, menyokong pembangunan bakat tempatan serta menyumbang kepada pematangan ekosistem infrastruktur digital Malaysia,” katanya.
Kemasukan Digital Realty ke Malaysia mencerminkan komitmen pelaburan jangka panjang syarikat itu di negara ini, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab infrastruktur digital yang kredibel, saling berhubung dan selamat bagi Asia Tenggara.
Digital Realty berkata, aspek kelestarian turut menjadi fokus utama melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan industri bagi menyokong agenda digital nasional serta memajukan amalan pusat data cekap tenaga selaras dengan peraturan tempatan dan matlamat alam sekitar jangka panjang.
Pengembangan ini akan dibina berasaskan kehadiran Digital Realty yang sedia ada di Asia Tenggara, khususnya di Singapura dan Jakarta, dengan syarikat itu terus menilai peluang untuk memperluaskan kapasiti, meningkatkan keupayaan dan memperkukuh kerjasama strategik di rantau ini. - DagangNews.com








