KUALA LUMPUR 21 Ogos – Dialog Group Bhd (Dialog) mencatatkan keputusan kewangan bagi tahun berakhir Jun 2025 (FY25) yang melebihi jangkaan penganalisis dalaman sebanyak +10%, namun hanya mencapai 86% daripada unjuran konsensus pasaran.
Bagaimanapun MBSB Research dalam nota penyelidikannya tetap mengekalkan saranan BELI terhadap saham Dialog dengan harga sasaran baharu RM2.17 berbanding RM1.85 sebelum ini, selepas semakan semula unjuran kewangan mengambil kira keputusan FY25
Prestasi FY25 merosot akibat faktor luar biasa
Firma itu mengakui pendapatan FY25 Dialog susut -21% yoy kepada RM2.5 bilion, manakala untung teras merosot -66% yoy kepada RM184.5 juta.
Namun kelemahan ini berpunca daripada one-off impairments dalam projek petrokimia dan tenaga boleh diperbaharui, selain lebihan kos projek EPCC yang mengakibatkan kerugian pada suku kedua FY25.
Selain itu, keuntungan bersih turut terjejas akibat penurunan sumbangan usaha sama syarikat pengeluar food grade recycled polyethylene terephthalate (rPET), yang kini telah menghentikan operasi.
Segmen Malaysia dan antarabangsa bagaimanapun mencatat pemulihan margin dengan masing-masing mencatatkan pendapatan lebih rendah, iaitu RM292.8 juta (**-41% yoy**) dan RM83 juta (**-54% yoy**).
Namun, segmen Malaysia merekodkan PBT suku keempat FY25 sebanyak RM170.6 juta (**+37% yoy**) berikutan peningkatan kadar penghunian tangki simpanan.
Firma itu berkata, kenaikan ini didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap fasiliti simpanan minyak mentah susulan ketidaktentuan harga minyak global pada 2QCY25.
Pada masa sama, Dialog turut melaksanakan pengoptimuman kos serta menyiapkan beberapa projek utama dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, keuntungan daripada perniagaan huluan kekal tertekan akibat pengeluaran lebih rendah, kerja penyelenggaraan berjadual dan harga minyak direalisasi yang lebih rendah.
Sementara itu, segmen antarabangsa terkesan berikutan penjualan kepentingan dalam Jubail Supply Base pada FY25.
Kekal optimis menempuh ketidaktentuan
Firma itu berkata, Dialog kekal optimis terhadap model perniagaannya untuk menempuh ketidaktentuan pasaran. Syarikat sedang mengembangkan operasi huluan dengan kajian untuk dua projek minyak dan gas baharu.
Namun, segmen midstream terus menjadi keutamaan melalui pelaburan berterusan di Pengerang Deepwater Terminals, termasuk pelancaran fasiliti penyimpanan bahan api boleh diperbaharui pertama di DIALOG Terminals Langsat (3).
Selain itu, perjanjian selama 25 tahun untuk pembinaan fasiliti simpanan baharu di Pengerang Terminals mengukuhkan komitmen Dialog dalam memperluas portfolio serta menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com








