KUALA LUMPUR 5 Mac - Kerjasama ekonomi antara ASEAN, China dan Kesatuan Eropah (EU) perlu diperkukuh bagi merangsang perdagangan dan pelaburan global ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik serta peningkatan perang tarif.
Pengasas dan Presiden Center for China and Globalization (CCG), Dr Henry Huiyao Wang berkata, ketiga-tiga blok ekonomi itu merupakan rakan kongsi semula jadi yang berkongsi kepentingan mempertahankan perdagangan bebas dan sistem multilateralisme.
Menurut beliau, tahap kesalinghubungan ekonomi antara China, ASEAN dan EU amat tinggi dan kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan untuk membina rangka kerja kerjasama yang lebih kukuh serta berdaya tahan.
“China dan negara-negara ASEAN bersama Jepun, Australia serta New Zealand kini berada dalam kerangka Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), iaitu perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia dari segi populasi dan saiz ekonomi,” katanya dalam sesi temu bual media pada Persidangan Keselamatan Munich di Jerman, baru-baru ini.

Dr. Wang berkata, RCEP membuktikan integrasi ekonomi serantau boleh dicapai tanpa berasaskan ideologi, sebaliknya menumpukan kepada manfaat praktikal serta pertumbuhan bersama.
Pada masa sama, beliau berkata Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) berpotensi muncul sebagai satu lagi blok perdagangan utama Asia-Pasifik dengan piawaian lebih tinggi dalam aspek akses pasaran, pelaburan dan ekonomi digital.
Katanya, China telah memohon untuk menyertai CPTPP manakala EU turut menunjukkan minat untuk memperluaskan penglibatan yang berpotensi membentuk blok perdagangan bebas berskala lebih besar.
“ASEAN kini merupakan rakan dagang terbesar China dan sebaliknya, manakala EU ialah rakan dagang kedua terbesar China. Hubungan perdagangan ini menunjukkan tahap saling kebergantungan yang sangat tinggi,” katanya.
Menurut Dr. Wang, usaha mempercepat peluasan keahlian serta mengurangkan halangan bukan tarif mampu merangsang aliran pelaburan rentas wilayah dan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan global.
Dalam sektor strategik, beliau menekankan kepentingan kerjasama dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui sebagai pemacu pertumbuhan baharu, khususnya dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) serta rantaian bekalan berkaitan.
China kini merupakan pengeluar terbesar kenderaan elektrik dunia dan telah memperluaskan pelaburan di beberapa negara ASEAN serta Eropah. Pada masa sama, syarikat automotif seperti BMW, Mercedes-Benz dan Volkswagen telah lama menjalinkan usaha sama strategik di China.
Dr. Wang berpandangan, dalam era ketegangan perdagangan global, pengukuhan integrasi antara ASEAN, China dan EU bukan sahaja penting untuk kestabilan serantau, malah berpotensi membentuk semula landskap perdagangan global ke arah yang lebih terbuka, inklusif dan berdaya tahan. - DagangNews.com








