KUALA LUMPUR 14 Mei – Destini Bhd melalui anak syarikatnya, Destini Oil Services Sdn Bhd memperoleh kontrak besar daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan pengendalian dan pemasangan tiub paip telaga minyak (TRS).
Menurut syarikat itu, kontrak tersebut telah dianugerahkan pada 30 Mac 2026 dan akan berlangsung selama lima tahun sehingga 29 Mac 2031.
Kontrak jangka panjang ini dijangka mengukuhkan lagi tempahan perkhidmatan kumpulan serta memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih stabil sehingga tahun 2031.
Perkhidmatan TRS merujuk kepada kerja teknikal memasang, mengendalikan dan menurunkan paip keluli ke dalam telaga minyak atau gas semasa operasi penggerudian.
Ia merupakan salah satu komponen penting dalam aktiviti huluan minyak dan gas kerana ia memastikan struktur telaga berada dalam keadaan stabil dan selamat untuk pengeluaran.
Destini berkata tempoh kontrak selama lima tahun itu membolehkan syarikat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan peralatan serta meningkatkan kecekapan kos dalam pelaksanaan kerja.
Selain itu, syarikat turut menyatakan bahawa ia dapat memanfaatkan infrastruktur tempatan sedia ada bagi menyokong operasi yang lebih berkesan kepada pelanggan utama.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Destini, Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar berkata pihaknya menghargai hubungan kerjasama yang berterusan dengan PETRONAS Carigali sebagai pelanggan utama dalam sektor tenaga negara.
Beliau berkata syarikat kekal komited untuk menjadi penyedia perkhidmatan TRS yang boleh dipercayai khususnya dalam mendepani cabaran kompleks pasaran tenaga global ketika ini.
Menurut beliau lagi, penganugerahan kontrak tersebut berlaku pada masa yang penting bagi sektor tenaga apabila kestabilan pengeluaran domestik semakin kritikal susulan ketidaktentuan bekalan tenaga global.
“Dengan memperoleh kontrak lima tahun ini, Destini memperkukuhkan peranannya dalam memastikan operasi huluan minyak dan gas di Malaysia kekal berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Tambah beliau, kontrak tersebut juga dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kumpulan dalam tempoh jangka panjang seiring dengan usaha memperkukuh asas pendapatan syarikat. - DagangNews.com








