Demanlink raih pelaburan RM10 juta daripada EdgePoint percepat kemajuan infrastruktur digital Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Demanlink raih pelaburan RM10 juta daripada EdgePoint percepat kemajuan infrastruktur digital Sarawak

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MeiDemanlink Connection Sdn Bhd memperoleh pelaburan tambahan RM10 juta daripada EdgePoint Infrastructure bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital di Sarawak.

 

Pelaburan baharu itu bakal memperkukuh agenda transformasi negeri tersebut selain memacu pelaksanaan projek infrastruktur sambungan internet dan 5G di kawasan strategik termasuk komuniti luar bandar.

 

Dalam kenyataan, Demanlink berkata, kerjasama strategik tersebut akan membolehkan syarikat itu meningkatkan kapasiti dan keupayaan bagi mempercepatkan lagi pembangunan prasarana telekomunikasi.

 

"Kumpulan ini bekerjasama bagi menyediakan rumusan infrastruktur berskala besar dengan lebih pantas menerusi kepakaran EdgePoint Infrastruture yang berpengalaman luas di rantau ASEAN," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Demanlink, Hanad Yusuf berkata, kolaborasi tersebut memainkan peranan penting dalam usaha syarikat dapat membangunkan prasarana sambungan digital.

 

Kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan ujar beliau, membolehkan pelaksananan di lapangan yang lebih inovatif dan bersesuaian dengan keperluan infrastruktur telekomunikasi Sarawak itu sendiri.

 

“Pelaburan berterusan EdgePoint mengukuhkan keyakinan kami ke atas potensi pertumbuhan Sarawak dan dipacu komitmen Demanlink dalam usaha menyokong aspirasi sambungan digital pelanggan,” katanya.

 

Dalam pada itu, CEO dan Pengasas EdgePoint Infrastructure, Suresh Sidhu berkata, kerjasama tersebut selari dengan misi syarikat bagi membina ekosistem ASEAN yang lebih saling berhubung secara digital.

 

Menurutnya, sejak 2024 kedua-dua pihak melaksanakan pelbagai inisiatif infrastruktur telekomunikasi di Sarawak termasuk pemasangan tiang pintar telekomunikasi 5G pertama negeri itu di Siburan.

 

Kerjasama itu ujarnya, turut merangkumi pembangunan tapak built-to-suit (B2S) pertama Demanlink di Kampung Jepak, Bintulu, serta projek rumusan In-Building Coverage (IBC) di One Shell Square, Miri.

 

"Selain itu, kedua-dua syarikat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat Connectivity for Communities (CFC) yang memperkasakan sekolah dan komuniti kurang akses digital di ASEAN," jelasnya.

 

Setakat ini kata beliau, sejumlah dua buah bilik darjah digital sudah diwujudkan mereka menerusi program tersebut melibatkan sekolah di Long Miri dan Simunjan. - DagangNews.com