Dataprep peroleh hak harta intelek bernilai RM15.5 juta daripada syarikat China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dataprep peroleh hak harta intelek bernilai RM15.5 juta daripada syarikat China

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – Dataprep Holdings Bhd, penyedia kejuruteraan dan perkhidmatan teknologi maklumat telah memeterai satu perjanjian untuk memperoleh hak harta intelek (IP) daripada syarikat berpangkalan di China, Qingdao Xingyun Digital Technology Co Ltd (QXDT) yang bernilai RM15.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dataprep berkata, bayaran penuh bagi pemerolehan tersebut akan dibuat oleh Zenith City Management Services (Sichuan) Co Ltd iaitu rakan teknologi strategiknya sebagai pertukaran untuk hak penggunaan eksklusif sistem berkenaan di Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia.

 

"Langkah itu dijangka membuka aliran pendapatan baharu di bawah inisiatif infrastruktur digital kumpulan, dengan penyediaan perkhidmatan digital dan platform tambah nilai kepada pasaran rantau ini.

 

"Projek infrastruktur berkaitan melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian telekomunikasi bawah tanah seperti 'ducting', 'manhole' dan tiang mikro untuk pemasangan gentian optik," katanya.

 

Sistem tersebut kini sedang dilaksanakan di Bandung, Indonesia dengan jangkaan dapat memberi liputan perkhidmatan kepada kira-kira 2.76 juta penduduk.

 

Dataprep turut memaklumkan bahawa aset yang dibangunkan oleh QXDT merangkumi sistem hak milik untuk pengurusan pembekal, sistem mata ganjaran dan platform keahlian pusat beli-belah.

 

Ia termasuk pengurusan hartanah pintar dan integrasi IoT, platform perkhidmatan komuniti, kesihatan bersepadu serta kesejahteraan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI).

 

Zenith adalah firma teknologi yang memberi tumpuan kepada pembangunan bandar pintar berasaskan AI. 

 

Syarikat tersebut menawarkan kepakaran dalam reka bentuk dan pembangunan sistem pintar untuk meningkatkan infrastruktur, mengoptimumkan aliran trafik, menjimatkan penggunaan tenaga serta meningkatkan keselamatan awam melalui analitik ramalan dan data secara 'real time'.  - DagangNews.com