Dasar Industri Pertahanan Negara, sejauhmana ia bakal dilaksanakan nanti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dasar Industri Pertahanan Negara, sejauhmana ia bakal dilaksanakan nanti

Hanya sebahagian kecil kelengkapan ATM dibekalkan oleh syarikat tempatan manakala sebahagian besarnya dibeli daripada pembekal luar negara - gambar hiasan.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Kementerian Pertahanan (Mindef) minggu lalu membentangkan 10 fokus sempena Majlis Perutusan Tahun Baharu Mindef yang dikira sebagai hala tuju strategik kementerian itu.

 

Dibentangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, fokus utama yang digariskan adalah perancangan 2025 seiring dengan cabaran dan keperluan semasa.

 

Daripada 10 fokus tersebut, yang menarik perhatian ialah matlamat kelima iaitu 'Membangunkan industri pertahanan tempatan yang kompetitif dan berdaya saing’.

 

Mengikut perinciannya pula ialah satu Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) akan dilancarkan semasa LIMA 2025 dengan libat urus awam melalui portal dalam talian, disokong oleh penubuhan Strategic Defence Management (SDM).

 

Pesawat
Mindef melancarkan 10 fokus utama sebagai hala tuju strategik kementerian.

 

Memandangkan tiada penjelasan lanjut daripada Mindef tentang perkara tersebut, maka timbul persoalan apakah bentuk dan fokus DIPN yang bakal dilancarkan nanti.

 

Adakah ia satu lagi kertas cadangan baharu untuk menggantikan cadangan-cadangan tentang membangun industri pertahanan sepertimana yang telah dikemukakan sebelum ini?

 

Dalam tempoh 6 tahun lalu, perancangan mengenai Dasar Industri Pertahanan Negara ini sering berubah-ubah mengikut peralihan kerajaan dan pertukaran menteri.

 

Sebelum ini, terdapat perancangan untuk melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) pada LIMA 2023, namun ia tidak direalisasikan pada waktu itu.

 

Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, DIPKN adalah satu dasar strategik yang dirancang oleh kerajaan Malaysia untuk membangunkan industri pertahanan dan keselamatan negara secara holistik. 

 

Pesawat
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (dua dari kiri) diberi penerangan semasa melihat salah satu ruang pameran DSA 2024 lalu.

 

Pesawat

 

Dasar ini bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, dan memastikan kemandirian serta keselamatan jangka panjang Malaysia.

 

Semasa pentadbiran Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan pada 2018-2019, Mindef mensasarkan untuk memajukan industri pertahanan menerusi Kertas Putih Pertahanan Negara (KPP).

 

Dalam KPP, industri pertahanan mendapat perhatian secara khusus apabila DIPN yang sedang dibangunkan turut mencakupi lima teras utama.

 

Antaranya pembangunan modal insan, pembangunan teknologi, pembangunan industri, keupayaan berdikari dan tembusi pasaran global.

 

Bagi maksud tersebut, Mindef telah melengkapkan kertas dasar bagi memperkukuhkan industri pertahanan negara, dengan fokus kepada industri baharu dalam pertahanan termasuk bidang siber. 

 

Pesawat
Industri pertahanan negara perlu meneroka teknologi baharu termasuk penggunaan robot dalam tugas ketenteraan.

 

Pesawat

 

DIPN yang disebut dalam KPP Malaysia adalah kerangka strategik untuk membangunkan sektor pertahanan tempatan secara menyeluruh. 

 

Ia menjadi sebahagian penting daripada rancangan jangka panjang negara untuk memperkukuhkan kemandirian pertahanan, mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dan sumber luar, serta memastikan keselamatan negara.

 

Tiga tahun lalu, Menteri Kanan Pertahanan pada masa itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Mindef bakal memperkenalkan DIPN dalam masa terdekat.

 

Beliau optimis, dasar baharu itu akan memberi tumpuan untuk merancakkan sektor perindustrian pertahanan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

 

Bagaimana pun, DIPN yang digariskan dalam KPP Malaysia masih dalam proses pembangunan dan belum dilaksanakan sepenuhnya.

 

 

Pesawat

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Pada Jun 2023, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari memberitahu kementerian tersebut sedang menyiapkan DIPN untuk dilancarkan pada tahun tersebut bagi mengembangkan lagi industri pertahanan negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.

 

Melihat kepada rentetan ini, perancangan untuk memuktamadkan kerangka dasar bagi industri pertahanan Malaysia melalui jalan yang panjang dan berubah-ubah.

 

Malaysia mempunyai industri pertahanan yang sedang berkembang, tetapi ia masih belum setanding dengan negara-negara pemain industri seperti Amerika Syarikat, Rusia atau Perancis.

 

Pada peringkat serantau pula, kita masih jauh ditinggalkan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam.

 

Walaupun begitu, terdapat usaha berterusan untuk memperkukuh industri pertahanan negara

 

 

Pesawat
Mildef merupakan contoh syarikat pertahanan tempatan yang giat mempromosikan produknya ke pasaran serantau.

 

Pesawat

 

Industri pertahanan tempatan masih memerlukan sokongan lebih besar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

 

Banyak teknologi canggih yang diperlukan untuk pertahanan negara masih belum dapat dibangunkan secara sepenuhnya di dalam negara.

 

Untuk membangunkan industri pertahanan yang kukuh, ia memerlukan pelaburan besar dalam penyelidikan, pembangunan, dan pengeluaran. 

 

Kerajaan Malaysia walaupun memberi perhatian kepada sektor ini, mungkin menghadapi kekangan kewangan yang membatasi kemajuan industri pertahanan.

 

Walaupun terdapat syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor pertahanan, tetapi peranan mereka masih terbatas. 

 

 

Pesawat
Pameran kelengkapan pertahanan seperti DSA dan LIMA merupakan platform memajukan teknologi industri pertahanan tempatan.

 

Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan syarikat tempatan perlu diperkuat untuk memperkasa industri pertahanan tempatan.

 

Kesimpulannya, memuktamadkan DIPN adalah amat penting bagi memastikan pembangunan industri berterusan dalam meningkatkan keupayaan strategik negara.

 

Cuma, sejauh mana dasar tersebut dilaksanakan adalah perkara lain sekiranya dasar itu tidak berubah atau terkesan dengan pertukaran kerajaan. - DagangNews.com