KUALA LUMPUR 1 April — Pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia mulai 1 Julai 2026 dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 1.5 juta tan bagi tahun ini, menurut penganalisis.
Dua firma penyelidikan dalam analisis mereka turut berpandangan, ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang mengganggu rantaian bekalan minyak global kini menjadi pemacu utama sektor perladangan.
RHB Research dalam notanya hari ini menilai langkah Indonesia sebagai positif kepada harga minyak sawit mentah (MSM) dan penggunaan kapasiti, dengan kadar utiliti loji berpotensi naik sehingga 91%.
"Bagaimanapun, kami menegaskan beberapa isu teknikal masih belum diselesaikan negara itu, termasuk ujian jalan raya yang hanya dijangka siap pada Jun bagi kenderaan dan Ogos bagi tren," katanya.
Situasi tersebut mungkin menyebabkan pelaksanaan B50 dilaksanakan secara berperingkat, selain isu ketidaktentuan formula harga biodiesel serta perubahan levi eksport turut menjadi persoalan besar.
Kata RHB Research, ini terutama dalam persekitaran harga metanol yang meningkat lebih 50% susulan konflik geopolitik dan ia mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor perladangan tempatan.
Pada masa sama, firma penyelidikan tersebut mengesyorkan pendekatan dagangan taktikal positif, dengan andaian harga MSM pada 2026 iaitu RM4,250 setiap tan metrik masih dikekalkan buat masa ini.
"Jika konflik berpanjangan dan harga minyak mentah melonjak, unjuran harga MSM perlu disemak semula ke paras lebih tinggi, yang akan memberi manfaat kepada semua kaunter perladangan," tambahnya.
Antara pilihan utama RHB Research bagi sektor itu ialah Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation Berhad, PP London Sumatra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources Limited.

Sementara itu, Public Investment Bank mengambil pendirian lebih optimistik dengan menaik taraf sektor kepada 'overweight', didorong oleh lonjakan harga komoditi dan risiko bekalan minyak global.
Firma tersebut menaikkan unjuran harga MSM bagi 2026 dan 2027 kepada RM4,400 daripada RM4,200 sebelum ini, selepas harga niaga hadapan mencecah paras tertinggi 16 bulan sekitar RM4,903.
"Konflik Timur Tengah melonjakkan harga minyak lebih 50% dan melebarkan jurang harga minyak sawit-gasoil ke paras tertinggi tiga tahun, serta biodiesel berasaskan sawit lebih kompetitif," katanya.
Ini jelas PublicInvest, dapat dilihat di pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS), dan Kesatuan Eropah (EU), apabila gangguan laluan di Selat Hormuz turut meningkatkan kos baja urea dan ammonia.
Kebanyakan syarikat perladangan katanya, namun sudah pun bertindak lebih awal apabila 'mengunci' bekalan bahan mentah tersebut untuk tempoh 6 hingga 12 bulan bagi memastikan pokok kekal sihat.
Firma itu turut memberi amaran terhadap risiko jangka panjang termasuk potensi penurunan hasil tandan buah segar (TBS) akibat pengurangan pembajaan oleh pekebun kecil serta faktor cuaca ekstrem.
"Fenomena El Niño yang mungkin berlaku pada separuh kedua 2026 diramal menekan pengeluaran, dengan potensi penurunan sehingga 14% dalam pengeluaran MSM jika kesan cuaca ketara," kata PublicInvest.
Dari sudut peluang, firma itu melihat segmen oleokimia sebagai penerima manfaat terbesar berikutan harga petrokimia yang meningkat, sekali gus meningkatkan daya saing produk berasaskan sawit.
Antara pilihan utamanya ialah SD Guthrie Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad, selain ia menggemari pemain segmen huluan tempatan yang lebih sensitif kepada pergerakan harga MSM. - DagangNews.com








