KUALA LUMPUR 12 Jan – Dagangan saham Sunway Bhd dan IJM Corporation Bhd digantung bermula jam 9 pagi Isnin, sementara menunggu pengumuman material daripada kedua-dua syarikat, menurut pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia memaklumkan bahawa penggantungan dagangan itu turut melibatkan semua waran berstruktur yang berkaitan dengan saham Sunway dan IJM.
Perkembangan terbaharu itu kembali mencetuskan spekulasi pasaran, memandangkan sebelum ini terdapat laporan media mengenai kemungkinan penggabungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, pada November tahun lalu, IJM telah menafikan laporan berhubung cadangan penggabungan dengan Sunway, dengan menegaskan bahawa lembaga pengarahnya tidak mengetahui sebarang cadangan sedemikian dan tidak pernah didekati berhubung potensi penggabungan.
Sunway pula secara berasingan turut menjelaskan bahawa tiada sebarang penglibatan, perbincangan atau rundingan diadakan dengan IJM berkaitan perkara tersebut.
Akhbar The Business Times–New Straits Times pada 7 November 2025 sebelum ini melaporkan bahawa kedua-dua syarikat berkenaan berkemungkinan sedang meneroka penggabungan, yang jika direalisasikan, berpotensi mewujudkan salah satu konglomerat terbesar di Malaysia.
Untuk rekod, Sunway mula muncul sebagai pemegang saham utama dalam IJM pada 2021 dengan pegangan sebanyak 5.02%, sekali gus mencetuskan minat pasaran terhadap sebarang perkembangan strategik melibatkan kedua-dua kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








