Dagangan saham LYC Healthcare digantung mulai 10 Ogos susulan kelewatan laporan tahunan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan saham LYC Healthcare digantung mulai 10 Ogos susulan kelewatan laporan tahunan 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Dagangan sekuriti LYC Healthcare Bhd (LYC) akan digantung berkuat kuasa 10 Ogos 2026 berikutan syarikat itu masih belum dapat mengeluarkan Laporan Tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penggantungan dagangan itu akan kekal sehingga Laporan Tahunan 2026 yang merangkumi penyata kewangan beraudit tahunan, laporan juruaudit serta laporan pengarah dikeluarkan dan diserahkan kepada Bursa Malaysia serta pemegang saham.

 

Syarikat itu berkata, kelewatan penerbitan laporan tahunan berlaku kerana masih menunggu pemuktamadan penyata kewangan beraudit oleh juruaudit luar, Messrs SBY Partners PLT.

 

"Pihak pengurusan syarikat sedang bekerjasama rapat dengan juruaudit luar sepanjang proses audit bagi mempercepatkan penyelesaian dan pemuktamadan Laporan Tahunan 2026," katanya.

 

LYC menjangkakan Laporan Tahunan 2026 dapat dikeluarkan dan dikemukakan dalam tempoh dua minggu daripada tarikh pengumuman tersebut.

 

Syarikat itu turut memaklumkan akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkembangan perkara berkenaan sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

 

LYC sebelum ini terlibat dalam sektor penjagaan kesihatan termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan reproduktif, diagnostik, makmal perubatan serta perkhidmatan berkaitan kesihatan. - DagangNews.com