Dagangan saham FGV digantung mulai 25 Ogos susulan pengambilalihan oleh Felda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan saham FGV digantung mulai 25 Ogos susulan pengambilalihan oleh Felda

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Bursa Malaysia mengumumkan dagangan saham FGV Holdings Berhad akan digantung bermula pukul 9 pagi pada 25 Ogos 2025 susulan pengambilalihan hampir 95% saham oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

 

FGV berkata, ia menerima notis daripada Maybank Investment Bank Berhad, yang bertindak bagi pihak Felda mengesahkan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat itu ditutup pada 15 Ogos 2025.

 

“Sehingga tarikh tersebut, Felda dan pihak-pihak yang bertindak untuk matlamat sama (PAC) telah memperoleh 3.46 bilion saham, bersamaan 94.97% daripada jumlah saham FGV yang diterbitkan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dengan pegangan melepasi ambang 90%, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan saham FGV lima hari dagangan selepas tarikh penutupan, selaras dengan peraturan pasaran utama.

 

FGV dijangka meneruskan langkah untuk menarik balik penyenaraian daripada bursa, selaras dengan hasrat Felda.

 

Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Felda dikehendaki mengeluarkan notis kepada pemegang saham yang tidak setuju, memberi hak kepada pemegang minoriti untuk menjual saham mereka pada harga RM1.30 sesaham secara tunai atau syarat lain yang dipersetujui bersama.

 

Notis ini dijangka dikeluarkan dalam tempoh sebulan dari tarikh 29 Julai 2025, apabila Felda menguasai lebih 90% pegangan saham FGV.

 

Pemegang saham yang tidak bersetuju akan mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menunaikan hak mereka.

 

FGV, antara pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia, disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 menerusi IPO kedua terbesar di peringkat global pada tahun tersebut.

 

Penyahsenaraian itu menandakan berakhirnya tempoh 13 tahun FGV sebagai entiti awam, sejajar strategi Felda untuk menyusun semula kumpulan dan memperkukuh operasi selaras mandat peneroka tanpa tekanan pelaporan pasaran awam. - DagangNews.com