KUALA LUMPUR 19 Mac - Cypark Resources Berhad mencatatkan peningkatan hasil kepada RM43.2 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2026 (3QFY2026), naik 9% berbanding RM39.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, prestasi lebih kukuh itu didorong oleh peningkatan jualan elektrik daripada aset tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pertumbuhan pendapatan yuran pelupusan (tipping fee) dalam segmen Sisa Kitaran & Waste-to-Energy (WtE).
Hasil daripada segmen RE meningkat 10% tahun ke tahun kepada RM27.1 juta berbanding RM24.7 juta sebelum ini, disumbangkan oleh penjanaan lebih tinggi daripada loji solar berskala besar (LSS3) di Merchang serta hasil operasi dan penyelenggaraan projek LSS2 di Kelantan yang mula beroperasi secara komersial pada Januari 2025.
Sementara itu, segmen Sisa Kitaran & WtE merekodkan hasil RM16.1 juta, melonjak 29% berbanding RM12.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan penjanaan elektrik serta kadar tipping fee yang lebih tinggi susulan pelaksanaan kadar baharu dan peningkatan jumlah pemprosesan sisa.
Sejajar dengan pertumbuhan hasil, kerugian teras sebelum cukai (LBT) kumpulan berjaya dikurangkan sebanyak 21% kepada RM17.0 juta berbanding RM21.5 juta sebelumnya, mencerminkan asas kewangan yang semakin bertambah baik.
Bagaimanapun, perbelanjaan susut nilai dan pelunasan kekal tinggi pada RM20.8 juta dalam tempoh tersebut, sejajar dengan pelaburan modal jangka panjang yang besar dalam aset tenaga boleh diperbaharui.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2026 (9MFY2026), Cypark mencatatkan hasil RM131.1 juta, susut 6% berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen Kejuruteraan Lestari selepas penyiapan projek Hospital Rawang.
Namun begitu, penurunan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan sumbangan hasil masing-masing 10% dan 17% daripada segmen RE serta Sisa Kitaran & WtE.
Menurut kumpulan itu, aset solar, WtE dan biogas yang kini stabil operasi telah mula menjana aliran pendapatan berulang, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan dan daya tahan kewangan.
Melangkah ke hadapan, Cypark akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan platform tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi kitaran sebagai pemacu utama prestasi jangka panjang, di samping mempercepat pengiktirafan pendapatan daripada kontrak EPCC baharu serta meneroka pengembangan dalam teknologi hijau baharu.
Kumpulan itu turut memaklumkan bahawa buku tendernya telah berkembang kepada kira-kira RM4.2 bilion, mencerminkan penyertaan aktif dalam projek solar berskala besar, sistem hibrid solar-BESS, WtE dan infrastruktur alam sekitar.
Cypark menyasarkan untuk menukar saluran projek tersebut kepada buku tempahan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, tertakluk kepada penganugerahan projek dan kelulusan berkaitan.
“Lembaga pengarah kekal berhati-hati optimistik bahawa prestasi kewangan teras kumpulan akan terus bertambah baik pada suku-suku akan datang, disokong oleh buku tender yang kukuh, dasar kerajaan yang menyokong serta rekod pelaksanaan projek yang terbukti,” menurut kenyataan itu.
Dengan projek solar LSS5+ kini memasuki fasa pelaksanaan serta kemajuan pengembangan SMART WtE Fasa 2 susulan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, Cypark telah meningkatkan keterlihatan terhadap fasa pertumbuhan seterusnya dan terus memajukan saluran pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif pelaksanaan projek-projeknya. - DagangNews.com








