Curi kabel: Prasarana rugi RM20.6 juta, keselamatan operasi rel terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Curi kabel: Prasarana rugi RM20.6 juta, keselamatan operasi rel terjejas

Longgokan kabel ini dipercayai hasil aktiviti kecurian - Gambar Prasarana
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Dis - Prasarana Malaysia Bhd memandang serius isu kecurian kabel yang telah menyebabkan kerugian dianggarkan RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun lepas, sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta keselamatan pengguna pengangkutan awam.

 

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Prasarana memaklumkan bahawa isu kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan operasi perkhidmatan, malah menyebabkan gangguan perjalanan, kelewatan dan risiko keselamatan kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

 

Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, impak sebenar kecurian kabel melangkaui kerugian kewangan kerana ia melibatkan sistem kritikal yang menentukan keselamatan operasi rel.

 

“Setiap kejadian kecurian menyebabkan gangguan kepada operasi kereta api. Kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan kabel perlu dilaksanakan segera bagi memulihkan sistem kritikal, dan dalam situasi ini, penumpang adalah pihak yang paling terjejas,” katanya dalam kenyataan itu.

 

 

prasarana
Pagar diceroboh tanpa kebenaran, dipercayai laluan masuk pencuri kabel. - Gambar Prasarana

 


Kenyataan itu menyatakan trend peningkatan kes kecurian kabel semakin ketara apabila 41 kes direkodkan pada 2024, manakala 69 kes telah direkodkan setakat tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 68%.

 

Idzqandar menegaskan isu ini bukan sahaja menjejaskan operasi rel Prasarana, malah memberi kesan kepada operator rel lain dan syarikat telekomunikasi, selain menunjukkan bahawa jenayah ini berulang dan memberi implikasi terhadap infrastruktur kritikal negara.

 

Peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, terutamanya tembaga, yang meningkat dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket.

 

Pelbagai langkah pencegahan telah diambil termasuk penempatan pegawai keselamatan, rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemasangan kamera litar tertutup berteknologi tinggi (CCTV) serta ujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

 

“Prasarana juga bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk memperkukuh keselamatan fizikal di beberapa lokasi. Namun, dengan rangkaian rel yang merentasi lebih 200 kilometer, usaha ini sukar dilaksanakan secara bersendirian tanpa sokongan sistem penguatkuasaan dan regulasi yang lebih komprehensif,” katanya.

 

Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk agensi penguatkuasa, pembuat dasar, pemain industri dan orang awam bagi menangani isu ini secara kolektif.

 

Orang ramai juga digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, terutamanya di kawasan laluan rel, kepada pihak polis supaya tindakan cepat dan berkesan dapat diambil, tambah kenyataan itu. - DagangNews.com