Cukai: TNB diyakini boleh capai penyelesaian membina dengan Menteri Kewangan, kata CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai: TNB diyakini boleh capai penyelesaian membina dengan Menteri Kewangan, kata CGS International

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Penganalisis ekonomi percaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih boleh mencapai penyelesaian yang membina menerusi penyerahan semula jadual 7B di bawah kelulusan Menteri Kewangan.

 

"Kami percaya boleh ada penyelesaian membina, memandangkan isu ini berpunca daripada kesilapan prosedur dan bukannya ketidaklayakan," menurut CGS International (CGSI) Research dalam satu nota kepada pelanggannya.

 

Firma penyelidikan itu mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes cukai TNB bagi tahun 2018 yang telah menimbulkan semula kebimbangan terhadap potensi liabiliti cukai tunai sebanyak RM7.2 bilion sejak 2003.

 

 

 

 

 

 

“Bagi menangani kebimbangan pelabur, kami menjalankan analisis senario mengenai kesan terhadap aliran tunai dan dividen dalam pelbagai keadaan, yang menunjukkan impak hutang yang boleh diurus serta ruang untuk mengekalkan dividen sesaham walaupun dalam senario paling buruk,” kata CGSI.

 

Menurutnya, saham TNB telah kehilangan nilai pasaran sebanyak RM10 bilion selepas keputusan kes cukai itu, yang menggambarkan pelabur mungkin telah mengambil kira senario terburuk.

 

“Malah dalam senario ini, harga sasaran kami hanya jatuh kepada RM16.77 – masih 22% lebih tinggi daripada paras semasa.

 

“Pada pandangan kami, pasaran mengabaikan potensi pendapatan berulang jangka panjang, manakala pendapatan terkawal TNB menawarkan daya tarikan defensif,” katanya.

 

Semasa laporan ini ditulis oleh CGSI, saham TNB diniagakan pada paras RM13.60.

 

 

tnb

 

 

Rancangan Malaysia ke-13

Sementara itu, CGSI juga berpendapat TNB akan menjadi penerima manfaat utama dan pemacu kritikal tenaga boleh baharu (RE) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

 

Dalam nota kepada pelanggan, firma penyelidikan itu berkata rancangan yang baru diumumkan tersebut memperkukuh agenda tenaga bersih kerajaan, dengan peruntukan lebih RM90 bilion sehingga 2030.

 

CGSI menjangkakan prospek pendapatan jangka panjang TNB akan meningkat, disokong oleh pulangan terkawal yang berkembang serta peranan utamanya dalam peralihan tenaga negara.

 

“Kami menganggarkan permintaan tenaga akan mencatat paras tertinggi suku tahunan baharu pada suku kedua 2025 (2Q25), sekali gus membalikkan kelemahan 1Q25. Peningkatan beban daripada pusat data (DC) kini muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama.

 

“Sehingga 1Q25, penggunaan beban DC hanyalah 485MW – iaitu 7% daripada 6.4GW perjanjian bekalan elektrik yang telah ditandatangani oleh TNB.”

 

 

 

 

 

 

Ini, jelas CGSI, menunjukkan potensi kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 5% hingga 6% bagi permintaan tenaga untuk tempoh enam tahun akan datang, lebih dua kali ganda daripada 2.3% CAGR yang dicatat antara 2019 hingga 2024.

 

Ia didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan serta perubahan struktur dalam landskap tenaga. - DagangNews.com