KUALA LUMPUR 23 Julai – Mahkamah Tinggi telah memberi kebenaran kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), melalui anak syarikatnya TNB Western Energy Bhd, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung taksiran cukai berjumlah RM291.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Dalam maklum di Bursa Malaysia, TNB memaklumkan bahawa mahkamah telah membenarkan penangguhan interim terhadap sebarang prosiding lanjut, termasuk pelaksanaan notis taksiran, sehingga perbicaraan penuh selesai.
Pengurusan kes dijadualkan pada 5 Ogos.
ARTIKEL BERKAITAN: TNB berdepan kesan kewangan besar selepas kalah rayuan cukai RM1.25 bilion di Mahkamah Persekutuan
Awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan memihak kepada LHDN dalam kes taksiran cukai tambahan bagi tahun 2018, sekali gus mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada TNB.
Keputusan itu mengembalikan semula cukai berjumlah RM1.81 bilion, yang kemudiannya dikurangkan kepada RM1.25 bilion selepas remisi penalti pada Disember 2020.
Mahkamah turut menjelaskan bahawa TNB, sebagai syarikat utiliti, sepatutnya menuntut pelepasan cukai di bawah Jadual 7B (Elaun Pelaburan) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan bukannya Jadual 7A (Elaun Pelaburan Semula) yang dikhaskan untuk pengilang.
Keputusan tersebut dijangka memberi implikasi kepada liabiliti cukai TNB sehingga RM5.05 bilion bagi tempoh 2013 hingga 2018, dengan kemungkinan taksiran tambahan untuk tahun 2020 dan 2021.
TNB kini sedang menilai kesan kewangan terhadap pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan 2025, serta bercadang untuk meneruskan tuntutan pelepasan cukai di bawah Jadual 7B.
Walaupun keputusan ini menetapkan satu duluan (precedent) terhadap tanggungan cukai TNB, ia tidak dijangka memberi kesan kepada operasi syarikat. - DagangNews.com








