KUALA LUMPUR 13 Nov - Kutipan Cukai Keuntungan Modal (CKM) ke atas pelupusan saham tidak tersenarai berjumlah RM162 juta bagi tahun taksiran 2024, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Jumlah itu lebih rendah daripada unjuran awal, memandangkan MOF sebelum ini menganggarkan pelaksanaan CKM sebanyak 10% yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 akan menjana hasil tambahan tahunan kira-kira RM800 juta kepada perbendaharaan negara.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu, MOF menjelaskan hasil kutipan tersebut dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk tempoh pengecualian peralihan dari 1 Januari hingga 29 Februari 2024 serta tempoh bayaran 60 hari selepas penyerahan borang pulangan CKM.
Selain itu, pindaan terhadap Akta berkaitan CKM yang hanya berkuat kuasa pada Jun 2024 turut memberi kesan kepada jumlah kutipan.
CKM pertama kali dicadangkan dalam Belanjawan 2023 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai, di samping memastikan kumpulan berpendapatan tinggi menyumbang lebih banyak kepada hasil negara.
Bagi memastikan sistem ini kekal adil dan tidak membebankan pelabur, MOF menjelaskan, CKM hanya dikenakan ke atas keuntungan daripada saham tidak tersenarai, manakala saham tersenarai kekal dikecualikan bagi menggalakkan dagangan aktif serta menyokong kecairan pasaran.
Pengecualian turut diberikan kepada syarikat yang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), penstrukturan korporat, syarikat modal teroka dan amanah saham, bagi menyokong pelaburan jangka panjang serta kestabilan pasaran.
MOF berkata, pemantauan dan semakan berkala dijalankan bagi menilai keberkesanan sistem cukai ini serta menyesuaikan dasar agar kekal adil dan tidak membebankan pembayar cukai. - DagangNews.com








