KUALA LUMPUR 31 Okt – CTRM Testing Laboratory Sdn Bhd, anak syarikat Composites Technology Research Malaysia (CTRM) Sdn Bhd memeterai perjanjian jangka panjang dengan Skyways Technics Asia Sdn Bhd bagi meningkatkan keupayaan penyelenggaraan dan pembaikan pesawat di rantau Asia Pasifik.
Kerjasama ini memberi fokus kepada pembaikan ‘radome’, bahagian berbentuk kon di depan pesawat yang melindungi sistem radar dan komunikasi.
Melalui perjanjian itu, Skyways Technics Asia akan menggunakan kemudahan autoklaf dan kepakaran komposit CTRM untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan secara domestik.
Kerjasama ini dijangka mempercepatkan masa pemulangan pesawat, meningkatkan kecekapan kos, serta mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Skyways Technics, Benjamin Nielsen berkata, ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh keupayaan MRO domestik dan mengukuhkan rantaian bekalan aeroangkasa di Asia Pasifik.
“Bekerjasama dengan CTRM memberi kami akses kepada kemudahan canggih dan juruteknik berkemahiran tinggi. Kami kini dapat menawarkan perkhidmatan pembaikan radome yang lebih pantas dan menjimatkan kepada pelanggan di seluruh Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radome diperbuat daripada hampir 30 lapisan bahan prepreg berlamina dalam struktur sarang lebah, yang memerlukan kepakaran dan peralatan khusus untuk penyelenggaraannya.
Pemeriksaan berkala diperlukan untuk memastikan piawaian keselamatan penerbangan dipatuhi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, kerjasama dengan pemain global dalam sektor MRO adalah satu pengiktirafan terhadap keupayaan teknikal CTRM dan kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki.
“Kolaborasi ini turut meletakkan CTRM dalam kedudukan terbaik untuk menghadapi perkembangan pesat keupayaan MRO di rantau ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia, Ts. Shamsul Kamar Abu Samah pula menyifatkan kerjasama ini sebagai pencapaian penting bagi industri aeroangkasa negara.
“Ia membuktikan bagaimana pemain global dan tempatan boleh bekerjasama untuk membangunkan ekosistem MRO yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
CTRM, anak syarikat DRB-HICOM Berhad, ialah pengeluar komposit aeroangkasa terkemuka Malaysia dan pembekal utama kepada program pesawat komersial dan ketenteraan global.
Skyways Technics yang berpangkalan di Denmark mengendalikan hab di Malaysia dan beberapa negara lain, menawarkan penyelenggaraan, pembaikan dan penyelesaian alat ganti pesawat. - DagangNews.com








