KUALA LUMPUR 29 Jan – CTOS Digital Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) naik 37.6% kepada RM44.6 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025.
Angka tersebut menurut kumpulan itu, melonjak berbanding RM32.4 juta pada tempoh 4QFY24, didorong terutamanya hasil pelupusan pelaburan dalam Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd.
Ia menjual kira-kira 26% pegangan ekuiti dalam syarikat bersekutu itu menerusi subsidiarinya, Enfo Sdn Bhd dan CTOS Insights Sdn Bhd pada 18 Disember 2025 dengan harga tunai berjumlah RM80 juta.
"Selain itu, pertumbuhan berterusan dalam operasi domestik dan antarabangsa turut membantu kumpulan menaikkan keuntungan bersih pada 4QFY25," kata CTOS Digital dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pendapatannya turut meningkat 14.5% kepada RM88.0 juta berbanding RM76.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, dengan hasil didapati juga disumbangkan oleh segmen akaun utama," tambahnya.
Di samping itu jelas kumpulan berkenaan, operasi antarabangsa di Indonesia dan Filipina mencatatkan kadar penggunaan pelanggan yang lebih tinggi sepanjang tempoh tinjauan bagi tiga bulan tersebut.
Sementara itu kata CTOS Digital, prestasi keseluruhan bagi tahun kewangan 2025 menunjukkan hasil tahunan meningkat sebanyak 7.0% kepada RM326.1 juta, berbanding kira-kira RM304.9 juta pada 2024.
"Bagaimanapun PATAMI bagi FY25 pula didapati menyusut sedikit sebanyak 1.3% kepada RM104.9 juta, berbanding RM106.3 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya," tambah kenyataan kumpulan tersebut.
Penurunan kecil ini jelasnya, disebabkan oleh faktor peningkatan perbelanjaan operasi syarikat dan beban cukai yang lebih tinggi, walaupun terdapat keuntungan daripada langkah pelupusan aset.
Operasi Malaysia menyumbang hasil sebanyak RM279.9 juta bagi FY25, manakala operasi antarabangsa pula menunjukkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 17.5% dengan pendapatan mencecah RM46.1 juta.
Justeru, CTOS Digital mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 0.86 sen sesaham, yang akan dibayar pada 28 April 2026, menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2025 adalah 2.83 sen sesaham.
"Lembaga Pengarah kekal berhati-hati bagi tahun ini dengan tumpuan untuk memperluas penggunaan rumusan digital dan analitik termaju dan memperkukuh kedudukan sebagai penyedia data," katanya.
Syarikat juga sedang mempercepatkan pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data untuk memacu pertumbuhan jangka panjang, terutama di peringkat ASEAN. - DagangNews.com








