Critical Holdings raih kontrak EPC RM152.6 juta di Kulim Hi-Tech Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings raih kontrak EPC RM152.6 juta di Kulim Hi-Tech Park

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Mei - Critical Holdings Berhad memperoleh kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) bernilai RM152.59 juta bagi pembangunan kemudahan bilik bersih (cleanroom) di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Critical Engineering Solutions Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Critical M&E Engineering Sdn. Bhd.

 

Kontrak berkenaan dianugerahkan oleh sebuah syarikat multinasional terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat yang membekalkan peralatan serta perkhidmatan fabrikasi wafer kepada industri semikonduktor global.

 

Skop kerja melibatkan pembangunan seni bina bilik bersih baharu bersama perkhidmatan utiliti mekanikal, elektrikal dan proses (MEP) di hab teknologi tinggi tersebut.

 

Menurut syarikat, kerja-kerja projek telah bermula pada 11 Mei 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 25 Disember 2026.

 

Critical Holdings berkata, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Perolehan kontrak tersebut dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen kejuruteraan fasiliti kritikal dan pembangunan infrastruktur industri semikonduktor yang berkembang pesat di Malaysia.

 

Kulim Hi-Tech Park ketika ini terus menjadi antara hab utama pelaburan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara, didorong pertumbuhan permintaan global terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), pusat data dan cip berprestasi tinggi.

 

Dalam pada itu, syarikat memaklumkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

Selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan projek, kumpulan juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa yang boleh memberi kesan material kepada kontrak berkenaan. - DagangNews.com